SELEPAS lebih empat tahun tidak aktif berlakon, Raja Ilya kini sedang mengatur langkah mengembangkan kariernya di bumi Australia.
Ilya atau Raja Rumilah Begum Raja Mohammad, 40, berkata, dia baharu sahaja menerima panggilan daripada sebuah produksi di negara tersebut yang menawarkan tawaran berlakon.
Walaupun belum bersedia disebabkan anak-anaknya masih kecil namun dia enggan melepaskan peluang yang datang.
Ilya bersama suami dan dua anak mereka.
"Sebenarnya tak juga bersedia nak kembali menjalani penggambaran. Saya cadang mungkin hujung tahun ini baru nak aktif semula, tunggu anak kedua besar sikit.
"Tapi bila rezeki datang, saya tak mahu tolak. Saya pergi uji bakat minggu lalu dan baru sahaja menerima panggilan untuk berlakon semula," katanya ketika dihubungi mStar.
Tambah pelakon kelahiran Ipoh, Perak ini dia sudah bernaung dengan sebuah syarikat pengurusan artis di Australia sejak 2020.
ARTIKEL BERKAITAN: Raja Ilya selamat timang anak kedua, pilih nama Royal Abraham
ARTIKEL BERKAITAN: Berserah kepada Tuhan, Raja Ilya akui alam perkahwinan tak mudah... Titip pesan minta Fattah kuat
Sejak itu dia banyak menghadiri uji bakat namun rezeki masih belum berpihak kepadanya dan lebih memberi fokus kepada kerja-kerja belakang tabir.
Ilya juga kini dalam proses menyiapkan skrip sebuah drama selepas kertas cadangannya diterima oleh sebuah stesen televisyen di sana.
"Banyak juga pergi uji bakat sebelum ini, biasalah... bila dah penat ada juga rasa putus asa. Sebab itu saya lebih fokus kepada kerja di belakang tabir.
Kalau saya yang tulis, mestilah akan cipta watak untuk diri sendiri
RAJA ILYA
PELAKON
"Sekarang pun saya sedang bekerjasama menyiapkan skrip. Kalau saya yang tulis, mestilah akan cipta watak untuk diri sendiri," ujarnya.
Perjalanan seni Ilya juga mendapat sokongan penuh suaminya iaitu Trent Garret dan mereka sama-sama berbahagi tugas menjaga dua cahaya mata di rumah.
"Tiada masalah untuk kembali berlakon. Apa yang penting tidak perlu ke lokasi yang jauh dan tinggalkan anak lama di rumah.
Suami memberi sokongan kepada Ilya terus aktif berlakon.
"Suami juga amat memberi sokongan. Dia sanggup menjaga anak apabila saya terlibat dengan penggambaran. Di sini semuanya kami uruskan sendiri sebab tiada pembantu rumah," jelasnya.
Untuk rekod Ilya mula menetap di Perth, Australia selepas berkahwin dengan Trent pada 2018.
Hasil perkahwinan tersebut mereka kini dikurniakan doa orang cahaya mata iaitu Talita Love, 3, dan Royal Abraham, 4 bulan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!