suria

Lali ditanya soal jodoh, jawapan Siti Nordiana tetap sama... Lebih selesa ‘kahwin’ dengan kerjaya

Nana terbuka apabila ditanya soal jodoh.

SOALAN berkaitan jodoh sering kali diajukan kepada penyanyi Siti Nordiana selepas hampir 15 tahun bergelar seorang ibu tunggal.

Malah statusnya juga menjadi tanda tanya apabila dilihat mengenakan busana pengantin ketika mempromosikan konsert solonya yang bakal berlangsung pada 11 Mei depan.

Bagi Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, 40, dia sudah lali menjawab soalan berkaitan jodoh malah jawapannya juga tetap sama iaitu belum bertemu pasangan sesuai.

"Saya tak kisah orang asyik bertanya perkara sama. Jawapan saya tetap sama iaitu belum ada.

siti nordiana 1

Nana tidak menolak jika kembali bertemu jodoh.

"Namun kita tidak tahu soal jodoh. Mungkin atas berkat doa peminat saya akan bertemu seseorang tahun hadapan. Cuma buat masa sekarang saya 'berkahwin' dengan kerjaya," katanya kepada mStar.

Nana berkongsi perkara itu ketika majlis sidang media konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun yang diadakan baru-baru ini.

Penganjuran konsert tersebut memberi makna besar buat Nana kerana ia adalah persembahan berskala besar pertama sepanjang 25 tahun penglibatan dalam dunia seni.

ARTIKEL BERKAITAN: Spekulasi sarung baju pengantin terjawab, Siti Nordiana ‘sanding’ dengan peminat 11 Mei

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nordiana dakwa ada rakan artis jauhkan diri selepas ‘live’ 5 sekawan

Justeru dia menganggap pemilihan tema perkahwinan bersesuaian sebagai simbolik cinta terhadap peminat.

"Sudah lama saya impikan hasrat untuk mengadakan konsert solo berskala besar. Selama ini ada perancangan cuma tidak menjadi atas beberapa faktor. Syukur tahun ini ia menjadi kenyataan.

"Konsert ini terlalu istimewa kerana akan menjadi 'pelamin' khas untuk saya raikan kerjaya bersama peminat yang sentiasa memberi sokongan.

Cuma buat masa sekarang saya berkahwin dengan kerjaya

SITI NORDIANA

PENYANYI

"Sebab itu kami pilih tema perkahwinan kerana ia bakal menjadi hadiah buat peminat," ujarnya.

Pada konsert itu nanti, Nana akan menyanyikan 25 buah lagu termasuk Memori Berkasih yang sebelum ini pernah dipopularkan bersama penyanyi Allahyarham Achik Spin.

Meskipun sebelum ini Nana berdepan dengan masalah kesihatan yang menggangu kotak suara, namun dia yakin malam tersebut dapat menghiburkan peminat.

siti nordiana 3

Konsert Nana bakal menjanjikan sesuatu yang istimewa buat peminat.

"Syukur kondisi suara saya semakin baik. Selepas setahun makan ubat dan menghadiri kelas vokal, rasanya tiada masalah untuk konsert nanti.

"Kesihatan juga amat penting bagi seorang penyanyi dan ia menjadi kebimbangan. Justeru ia menjadi satu tanggungjawab buat saya agar ambil berat tentang aspek kesihatan," jelasnya.

Konsert anjuran Icon Entertainment itu bakal berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur.

Tiket akan dijual bermula Jumaat di Ticket2u.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain