suria

Anjur karnival di Kelantan, Ani Maiyuni tiada masalah pakai tudung… “Kita pergi tempat orang ikut cara mereka”

Ani bersama Elyana yang turut sama menyertai Royale Fiesta Kelantan.

PENYANYI Ani Maiyuni teruja apabila diberi peluang menganjurkan karnival Royale Fiesta yang berlangsung di Kelantan bermula pada Khamis.

Ani atau Aishah An-Nur Osman, 45, berkata, meskipun perlu memakai tudung sepanjang program berkenaan, dia tidak berdepan masalah untuk mengikuti syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri itu.

anii - 1

Ani tampil berhijab di Royale Fiesta Kelantan. Sumber foto: Iwan Rushdi

"Pada saya tiada masalah kalau banyak syarat sebab kita berniaga. Kalau kita pergi tempat orang, kita kena ikut cara merekalah.

"Macam ada orang tanya, kak Ani okay ke kalau masuk Kelantan kena pakai tudung? Tak ada masalah sebab ada saja acara yang kita memang pakai tudung.

ARTIKEL BERKAITAN: Ani Maiyuni sertai GV8 bukan sebab tiada 'job', ubat kerinduan peminat dangdut - "Show tak putus-putus cuma lama tak keluar TV"

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu keluar dari genre dangdut, Ani Maiyuni bayangkan diri Misha Omar ketika di pentas GV8

"Perempuan tidak boleh buat sebarang persembahan (nyanyian) hanya lelaki sahaja. Seperti hari ini, sewaktu masa solat Jumaat kami semua diarahkan untuk tidak membuat bising," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Ani turut memberitahu dia yakin bahawa karnival berkenaan akan menerima kunjungan kerana orang ramai kini sedang membuat persiapan untuk sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut bulan depan.

Tambahnya lagi, sudah enam tahun Kelantan tidak mempunyai sebarang penganjuran karnival, selain daripada faktor kuasa membeli yang tinggi di negeri berkenaan.

Macam ada orang tanya, kak Ani okay ke kalau masuk Kelantan kena pakai tudung? Tak ada masalah sebab ada saja acara yang kita memang pakai tudung.

ANI MAIYUNI

PENYANYI

"Kami berani menganjurkan acara ini sebab di Kelantan sudah enam tahun mereka tidak mempunyai sebarang penganjuran karnival.

"Kami juga sudah melakukan survey, kuasa membeli di Kelantan sangat tinggi sebab itu kami pilih negeri tersebut.

"Lagi satu sebab kita kan dah nak sambut Aidiladha dan cuti sekolah. Jadi, mungkin ini masanya untuk pengunjung membeli persiapan raya Aidiladha sebab di sana mereka meraikannya dengan meriah," ujarnya.

Bercakap mengenai karier seni, Ani memberitahu dia masih aktif mengadakan persembahan pentas dan menjadikan perniagaan sebagai pendapatan sampingan.

"Saya masih lagi aktif menyanyi. Penganjuran karnival seperti ini adalah bisnes saya. Tapi sebenarnya bisnes sebenar saya adalah diri saya sendiri kerana saya menjual bakat.

"Sebelum ini saya lihat ramai orang kita banyak keluar produk sebab dapat duit KWSP dulu. Mereka nak jana pendapatan dengan menghasilkan produk dan dah berhabis wang untuk bisnes. Masalahnya mereka tiada peruntukan untuk promosi.

"Jadi saya ingin buka peluang untuk mereka dan saya cuba guna atas nama Ani Maiyuni kalau orang masih kenal untuk kita naikkan produk mereka insyaAllah," katanya.

ani1 - 1

Ani masih lagi aktif dalam bidang nyanyian.

Untuk info, Royale Fiesta Kelantan merupakan sebuah organisasi yang ditubuhkan atas dasar membantu usahawan selebriti, golongan daripada kumpulan B40 dan M40 dengan menganjurkan pesta membeli-belah.

Ia bertujuan untuk membantu mereka berjaya dalam perniagaan dan mewujudkan jualan luar talian yang mampan.

Fiesta ini berlangsung di Mydin Hypermarket Tunjong, Kota Bharu, Kelantan bermula 25 hingga 27 Mei.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain