suria

Konsert tribute Ahmad Nawab selesai, Jamal Abdillah ralat... Apa puncanya?

Jamal Abdillah mengakui berasa ralat konsert tribute terhadap mentornya, Datuk Seri Ahmad Nawab tidak mendapat sambutan.

SEBAGAI penerbit yang menganjurkan Konsert Tribute Datuk Seri Ahmad Nawab yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada awal Julai lalu, Datuk Jamal Abdillah ralat ia kurang mendapat sambutan penonton.

Jamal berkata, faktor kesuntukan masa melakukan promosi konsert itu membuatkan ramai tidak menyedari penganjurannya sehingga menyebabkan jualan tiket tidak memberangsangkan.

"Memang tak untung besar tapi bukanlah rugi sebab semua kos produksi telah dibayar dengan geran yang diterima.

"Cuma saya ralat kerana tempoh masa untuk promosi agak singkat. Konsert ini akan jadi lebih baik kalau saya ada lebih banyak masa," katanya kepada mStar.

WhatsApp Image 2022-07-12 at 3.08.25 PM

Jamal berbangga dapat menganjurkan konsert untuk gurunya itu.

Jamal berkata demikian ketika sesi santai bersama artis FMC yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa.

Konsert yang berlangsung pada 1 hingga 3 Julai lalu itu merupakan terbitan Bin Jamal Event Sdn Bhd dan dibawa bersama oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Istana Budaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Nawab pernah pulangkan semula duit RM22,000 kerana tak dapat ilham, menangis dengar anak didik sendiri menyanyi di konsert tribute

Meskipun berasa ralat namun Jamal turut meluahkan rasa syukur dengan penganjuran konsert tersebut kerana ia diadakan bagi memberi penghargaan buat guru dan mentornya, Datuk Seri Ahmad Nawab.

“Saya syukur semua berjalan lancar. Apa pun saya gembira kerana dapat tunaikan hajat anak-anak didiknya untuk ucap terima kasih kepada seorang guru.

“Awalnya beliau tidak suka dengan penganjuran konsert ini kerana tidak bertanya kepadanya lebih awal. Kemudian beliau meluahkan rasa terharu dan ucap terima kasih untuk konsert tersebut,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Jamal baru sahaja melancarkan lagu berjudul Ku Cuma duet sekali lagi bersama Wany Hasrita.

“Saya amat berbesar hati diberi peluang untuk duet sekali lagi dengan Wany. Ini adalah cara untuk saya terus kekal dalam arus perdana muzik.

“Peluang begini saya akan terima supaya saya tidak ketinggalan dengan artis-artis baharu yang ada dalam industri sekarang,” ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain