suria

Peminat cadang buka akaun TikTok... Hisyam Hamid bersedia ikut trend orang muda tapi malu nak menari

Hisyam sedia pertimbangkan permintaan peminat.

PELAKON Hisyam Hamid memberitahu dia bersedia untuk membuka akaun peribadi di aplikasi TikTok selepas dicadangkan oleh peminatnya.

Mengakui dirinya seorang pemalu, Hisyam, 37, bagaimanapun berkata dia mungkin tidak terlalu mengikut trend semasa di aplikasi tersebut yang memerlukannya menari dengan iringan muzik popular.

"Mungkin orang lain tak kisah hendak menari di TikTok, tetapi saya seorang yang pemalu. Memuat naik video menari sebegitu bukanlah diri saya yang sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN: Penonton dah bijak, Hisyam Hamid tak perlu buka baju untuk ‘belanja’ babak tak penting!

"Bagaimanapun saya akan mempertimbangkan untuk buka akaun TikTok sendiri... sesuatu yang menarik untuk dilakukan apabila nama saya juga menjadi perbualan di medium tersebut," katanya kepada mStar.

Sebelum ini, menerusi Instastory Hisyam memuat naik beberapa komen dan permintaan pengikutnya yang mahu dia memulakan perkongsian di laman TikTok.

Memandangkan aplikasi berkenaan digunakan secara meluas, Hisyam berkata dia tidak menolak untuk mewujudkan akaun peribadi.

Bagaimanapun dia belum meletakkan sebarang perancangan bentuk kandungan yang ingin dikongsikan.

Memuat naik video menari sebegitu bukanlah diri saya yang sebenar

HISYAM HAMID

PELAKON

"Tidak dinafikan TikTok sekarang ini adalah medium yang sangat bagus di mana ia boleh meraih jumlah tontonan tinggi. Dari sudut positif ia boleh digunakan untuk tujuan pemasaran.

"Bagaimanapun saya belum tahu content bagaimana yang akan dimuat naik nanti. Sebenarnya tidak terfikir untuk ada akaun sendiri, jadi masih tiada perancangan untuk membuat sebarang video di TikTok," ujarnya.

Sementara itu, pelakon drama Kerana Aku Isteri Bidaan ini juga meluahkan perasaan teruja apabila klip video drama lakonannya banyak disunting dan dimuat naik di aplikasi tersebut.

hisyam hamid 2

Peminat minta Hisyam buka akaun TikTok.

"Saya melihat banyak video dari drama lakonan saya dimuat naik dengan latar belakang muzik yang mereka sunting sendiri... ramai dalam kalangan peminat yang suka dengan video sebegitu.

"Lebih ramai generasi muda yang menggunakan TikTok, tak salah kalau saya cuba, mungkin orang ramai boleh terima dengan kandungan berbeza dalam aplikasi itu," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Hisyam Hamid, Tik Tok

Artikel Lain