suria

[VIDEO] Maria Arshad positif Covid-19 tahap 2, Shiera sekeluarga jadi kontak kasual - “Mula-mula dia demam dan sakit kepala... hanya mahu makan ubat”

Hanya ibu mentua Shiera sahaja yang disahkan positif.

LEBIH seminggu mengalami demam, aktres terkenal era 80an Datin Maria Arshad disahkan positif Covid-19 tahap dua pada Sabtu.

Menurut menantunya yang juga penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah, keadaan Maria, 63, bertambah buruk selepas pengambilan ubat paracetamol tidak berkesan.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen nampak 'baby bump', Sharifah Shahirah disangka hamil lagi! - “Korang tak pernah tengok perut buncit ke?”

"Benda ini jadi sejak lapan hari lalu kalau tak silap saya. Ibu mertua ada mengadu tak sihat kerana demam dan sakit kepala tapi dia hanya mahu makan ubat mungkin kerana dia rasa masih kuat untuk melawan sakitnya.

"Walaupun sudah buat ujian kit Covid-19 sendiri dan keputusannya negatif, tapi keadaan ibu mertua masih sama.

"Ketika dia sakit, dia duduk di rumah kami dan apabila melihat keadaannya bertambah buruk, kami buat keputusan bawa dia ke hospital swasta untuk rawatan lanjut. Dan kami terkejut kerana doktor sahkan dia positif Covid-19 tahap dua," katanya kepada mStar.

Terdahulu, isteri kepada pelakon Ijoy Azhari menerusi Instagram memberitahu dia dan keluarga menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin kendiri walaupun keputusan ujian calitan Covid-19 yang dilakukan adalah negatif.

Apa yang berlaku ini sebenarnya pengajaran untuk semua.

SHARIFAH SHAHIRAH

PENYAMPAI RADIO

Mengulas lanjut Shahirah atau lebih mesra disapa Shiera berkata, setakat ini hanya ibu mertuanya yang bergejala dan tidak mengetahui dari mana menerima jangkitan tersebut.

"Ibu mertua menerima rawatan di hospital. Kami sekeluarga dah buat ujian Covid-19 dan setakat ini semuanya negatif dan kalau ikutkan apa yang dikemaskini melalui aplikasi MySejahtera, saya dikategorikan sebagai kontak kasual dan tidak bergejala.

"Sebenarnya saya masih boleh menjalankan rutin harian seperti biasa. Tapi atas inisiatif sendiri, saya ambil pendekatan untuk kuarantin dan akan melakukan ujian Covid-19 lima hari lagi seperti yang disarankan oleh doktor.

Shiera 1

Shiera bersama keluarga besarnya.

"Sebab simptom Covid-19 tidak datang serta merta, mungkin dua tiga hari lagi... tapi saya tidak minta dan doa dijauhkan. Jadi semua kerja-kerja yang perlu bersemuka saya terpaksa ditangguhkan dahulu," katanya.

Shiera pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap keadaan kesihatan masing-masing bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

"Apa yang berlaku ini sebenarnya pengajaran untuk semua. Kalau rasa-rasa kesihatan tak berapa baik walaupun tiada siapa di sekeliling positif Covid-19, buatlah ujian Covid-19," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain