suria

Bunga Citra Lestari terkena jangkitan Covid-19 daripada penari, bukan sebab bercuti di Bali! Ini kronologinya

BCl menafikan dakwaan dia dijangkiti Covid-19 selepas pulang bercuti di Bali.

SUSULAN dakwaan mengatakan Bunga Citra Lestari dijangkiti wabak Covid-19 selepas pulang dari percutian di Bali, penyanyi Indonesia tersebut tampil menjelaskan perkara sebenar.

Jelas Bunga Citra Lestari atau lebih mesra disapa sebagai BCL, dia sudah meneruskan aktiviti hariannya selepas pulang dari pusat percutian itu pada 2 Jun lalu memandangkan keputusan ujian calitan pertamanya negatif.

ARTIKEL BERKAITAN: Bunga Citra Lestari positif Covid-19 selepas pulang bercuti dari Bali

Bagaimanapun nasib BCL tidak baik apabila dia disahkan positif Covid-19 selepas menjadi kontak rapat beberapa penarinya yang bertemu dengannya pada 10 Jun lalu.



BCL muat naik kenyataan bagi menjelaskan perkara sebenar.

“Saya pergi ke Bali dari 29 Mei hingga 2 Jun lalu. Saya sudah melakukan aktiviti dan mula bekerja di Jakarta dengan menjalankan proses yang ada dan melakukan ujian calitan pada 12 Jun lalu dan keputusannya negatif.

“Beberapa orang penari saya disahkan positif pada 13 Jun selepas bertemu dengan saya pada 10 Jun lalu. Saya lakukan ujian calitan lagi pada 14 Jun dan disahkan positif, ” kata Bunga Citra Lestari.

Isteri kepada Allahyarham pelakon Ashraf Sinclair itu menjelaskan perkara sebenar selepas menerima pelbagai kecaman menerusi laman Instastory miliknya pada Rabu.

Pada Selasa, penyanyi lagu Cinta Sejati memaklumkan dirinya sedang menjalani kuarantin kendiri selepas disahkan positif Covid-19 dan berharap akan sembuh tidak lama lagi.



BCL disahkan positif Covid-19 pada Isnin.

Bunga sebelum ini dilihat baru sahaja pulang bercuti bersama anaknya Noah Sinclair dari Bali, Indonesia dan netizen mula membuat spekulasi penyanyi itu mendapat jangkitan virus itu di sana.

Dalam pada itu, BCL menegaskan dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai dirinya dijangkiti Covid-19 selepas pulang daripada percutian dan meminta semua pihak mendapatkan info tepat sebelum menyebarkan berita tidak sahih.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa saya dijangkiti Covid selepas bercuti di Bali. Mohon dapatkan penjelasan info terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan, ” ujarnya.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain