suria

Penyanyi rap Fhan sering ditipu, luah perasaan dalam lagu - “Nak berkarya tak semestinya di usia muda”

Fhan tidak anggap usia penghalang untuk dia berkarya.

TAMPIL dengan single terbaharu berjudul Terang, penyanyi rap Fhan mendedahkan lagu tersebut dicipta berdasarkan pengalaman dia berdepan cabaran ketika melakukan pelbagai pekerjaan.

Berkongsi mengenai cabaran dalam dunia perniagaan, penyanyi berusia 31 tahun ini memberitahu dia pernah beberapa kali ditipu sehingga mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.

Fhan bagaimanapun menganggap apa yang terjadi itu mematangkan dia untuk lebih mengenali kehidupan dan berhati-hati dalam bekerjasama atau berkawan dengan orang.

"Lagu ini juga berdasarkan pengalaman saya yang pernah melalui liku-liku kehidupan turun dan naik dalam kerjaya. Saya buat banyak kerja bukan saja terbabit dalam bidang muzik tapi juga sebagai jurugambar, juruvideo dan pereka hiasan dalaman. Pendek kata pelbagai kepakaran.

Fhan bekerjasama dengan Bella dalam lagu Terang.

"Insiden kena tipu adalah biasa seperti klien tak nak bayar walaupun kerja sudah disiapkan. Soal kena tipu dalam perniagaan ini sudah banyak kali terkena hingga mencecah puluhan ribu juga.

"Namun, ini semua mematangkan saya untuk lebih kenal kehidupan. Ada juga jumpa orang yang hanya pandai sembang, tapi akhirnya dia ‘sapu’ sendiri. Orang seperti Ini buatkan saya lebih berhati-hati dalam nak bekerjasama, berkawan dan sebagainya.

"Apa yang terjadi membuatkan saya tampil dengan lagu Terang. Walaupun sudah terkena, tapi jangan putus asa, sebab cahaya terang akan datang, ” katanya kepada mStar.

Fhan turut berkolaborasi dengan penyanyi Bella Iris menerusi lagu ciptaan komposer terkenal Lucka Sickta dan lirik oleh Asyraf Nasir, Lucka Sickta serta Han Kabir itu.

Dalam erti kata lain nak mendidik mereka menerusi lagu.

FHAN

PENYANYI RAP

Sebelum lagu Terang, Fhan juga pernah muncul dengan dua single iaitu Bertahan pada Oktober manakala Terbang Tinggi pada Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Fhan memberitahu biarpun lambat memulakan karier muzik namun dia menganggap usia bukanlah menjadi penghalang untuk dirinya meluahkan perasaan dan menyampaikan mesej melalui lagu.

"Bagi saya untuk berkarya tak semestinya di usia muda. Berkarya bila-bila saja boleh. Sebab saya nak ekspresikan perasaan dan mesej dalam lagu untuk beri motivasi kepada pendengar selain nak beritahu apa yang berlaku di sekeliling kita.

Fhan mulakan karier seni di usia 30 tahun.

"Dalam erti kata lain nak mendidik mereka menerusi lagu. Sebab itu menerusi lagu pertama dan kedua lebih kepada mesej situasi yang dihadapi dalam negara sekarang seperti dalam tempoh PKP dan mereka yang terbabit dalam bidang penerbangan yang terkesan.

"Sementara single terbaharu ini pula didedikasikan kepada semua yang berhasrat untuk mencapai lebih baik dalam kehidupan.

"Apa-apa pun jangan putus asa. Jadi, bagi saya pekerja apa pun kena ada usaha dan matlamat," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain