suria

Syafinaz bandingkan BBNU Malaysia dengan Korea, tak berkira masuk kelas vokal - “Tengok bintang Kpop, berapa lama mereka berlatih”

Selepas 20 tahun, akhirnya Syafinaz Selamat muncul dengan single baharu berjudul Persis Salju.

KEMUNCULAN ramai pendatang baharu yang hanya bersandarkan pada populariti di media sosial dan bukannya bakat nyanyian mengundang rasa kecewa penyanyi yang juga guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat.

Bukan menafikan soal rezeki mereka, Syafinaz berkata penyanyi baharu sepatutnya menggunakan peluang yang ada dengan memperbaiki bakat nyanyian supaya mampu menjadi pelapis industri muzik tanah air.

"Saya sedih apabila kemunculan mereka hanya melihat kepada populariti dan bukan pada bakat seni itu... ramai yang famous dan mampu meraih jumlah tontonan tinggi di laman sosial dengan sekadar menyanyi.

ARTIKEL BERKAITAN: Rupa-rupanya Syafinaz Selamat guru vokal Nabila Razali, ‘show’ AJL35 bukan yang terbaik - “Jauh lagi perjalanannya sebelum boleh berlari”

"Banyak syarikat rakaman dan program televisyen tengok berapa juta pengikut, cari penyanyi yang viral. Pihak stesen dan label pula memikirkan tentang perniagaan, mahu buat duit, bila orang minat mereka akan panggil, ekosistem ini takkan berhenti.

"Bukan menidakkan rezeki orang tapi saya rasa mereka perlu ambil peluang ini untuk perbaiki diri. Menyedihkan, dah ada peluang tapi tak nak perbaiki diri, kemahiran menyanyi ini boleh ditingkatkan lagi," katanya kepada mStar.

Syafinaz minta penyanyi baharu ambil serius mengenai karier nyanyian.

Syafinaz ditemui semasa pelancaran single terbaharu berjudul Persis Salju yang diadakan di The Westin, Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam pada itu, Syafinaz menyarankan penyanyi baharu supaya membuat sedikit pelaburan dengan mengikuti kelas vokal bagi memantapkan lagi bakat nyanyian mereka.

Mungkin saya sedih sebab jiwa saya adalah pendidik... ini hanya pendapat saya harap tiada yang salah faham.

SYAFINAZ SELAMAT

PENYANYI

"Katakanlah famous di Instagram, YouTube... duit pun ada masuk, jadi tak salah laburkan sikit untuk tambah ilmu. Saya sendiri keluarkan banyak duit untuk belajar.

"Kalau kita tengok penyanyi Kpop, berapa lama mereka berlatih. Industri mereka ada pakej siap sedia dengan tarian dan nyanyian, ada yang berlatih sejak umur 13 tahun dan apabila umur 18 tahun baru mereka muncul single pertama... mereka serius terhadap karier nyanyian.

"Mungkin saya sedih sebab jiwa saya adalah pendidik... ini hanya pendapat, saya harap tiada yang salah faham, saya cuma mahu mereka semua bergerak ke depan," ujarnya.

Ada yang menyangka Syafinaz hanyalah guru vokal dan bukan penyanyi.

Dalam perkembangan lain, Syafinaz baru sahaja tampil dengan lagu terbaharu berjudul Persis Salju selepas 20 tahun.

"Pejam celik tanpa sedar, single ini dah 10 tahun terperap, ikut perancangan nak keluarkan tahun lalu namun kekangan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Selepas 20 tahun tak keluarkan single baharu, saya akui sampai ada yang terlupa saya adalah penyanyi dan mereka ingat saya guru vokal semata-mata.

"Semestinya kemunculan single baharu ini dapat mengubat kerinduan peminat yang dah lama menantikan lagu nyanyian saya. Besar harapan saya orang ramai terus memberi sokongan kepada Persis Salju ini," katanya.

Persis Salju ciptaan KuSham dan Zaira sudah boleh didengari di semua platform digital bermula Isnin.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain