suria

Ernie kini isteri Syamel, disatukan sempena berkat hari Jumaat

PASANGAN duet popular Syamel dan Ernie Zakri selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada pukul 10.30 pagi Jumaat.

Majlis akad nikah pasangan itu berlangsung secara tertutup di Masjid Puncak Alam, Selangor dengan dihadiri 20 ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Syamel dan Ernie nikah pagi Jumaat, guna tanda pagar #GoodByeHelloBMKN raikan hari bahagia

Pasangan itu dinikahkan jurunikah, Ustaz Zainal dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Zakri Ahmad.

Pada majlis itu, Syamel menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 dan seutas gelang tangan berlian namun wang hantaran dirahsiakan.



Ernie mengadakan majlis berinai malam Khamis.

Syamel atau nama sebenar, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 28, memberikan lima dulang hantaran berbalas tujuh.

Terdahulu, Ernie mengadakan majlis berinai pada malam Khamis dengan mengayakan jubah berwarna putih.

Pasangan ini akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi pada 3 April ini di sebuah lokasi di Kuala Lumpur.



Syamel dan Ernie bakal adakan majlis resepsi pada 3 April ini.

Syamel dan Ernie atau nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 29, mulai rapat selepas terbabit dalam program Duo Star terbitan Astro pada 2017.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 15 Ogos tahun lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain