suria

Dua tahun menunggu, Rozita Che Wan harap impian sambut Hari Raya Aidilfitri di rumah baharu tercapai - “Ada yang menipu, itu punca tertangguh”

Che Ta bersama suami Zain Saidin harap dapat beraya di rumah baharu tahun ini.

PELAKON Rozita Che Wan berharap impiannya untuk berpindah masuk ke kediaman baharu sebelum Hari Raya Aidilfitri ini akan tercapai.

Menurut Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 48, sudah dua tahun dia menantikan proses pengubahsuaian yang tertangguh kerana ditipu kontraktor tidak bertanggungjawab.

"Saya juga berharap hasrat untuk berpindah ke kediaman baru akan jadi kenyataan tahun ini... kalau tak ada aral masuk rumah itu sebelum raya nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Mencecah usia 50 tahun, Che Ta kembali jadi duta produk kecantikan wajah - “Saya tak sangka masih diberi kepercayaan”

"Sejak tahun lalu, ketika pandemik melanda, saya bertukar kontraktor melakukan kerja pengubahsuaian sebanyak tiga kali. Ada yang menipu, jadi itulah punca urusan berpindah ke rumah baharu jadi tertangguh.

"InsyaAllah semoga semuanya berjalan lancar dan kami sekeluarga dapatlah beraya di rumah baharu itu nanti," katanya.



Che Ta suka cara penyampaian dakwah Ustaz Syamsul Debat.

Meraikan ulang tahun kelahiran ke-48 pada 9 Mac lalu, Che Ta mengambil inisiatif mengadakan majlis kesyukuran dengan menjemput penceramah terkenal, Syamsul Debat.

Kata Che Ta, dia mengundang Syamsul Debat kerana tertarik dengan cara penceramah bebas itu memberi tazkirah agama.

Ada usikan dan lawaknya memang betul-betul kena tepat kepada batang hidung sendiri!

ROZITA CHE WAN

PELAKON

"Kami mula kenal rapat pun sewaktu dia muncul sebagai penampilan istimewa menerusi drama Janda Kosmopolitan. Malah dia pun pernah undang saya dalam siri perkongsian ilmu dianjurkannya.

"Ikutkan saya sudah selalu adakan acara seumpama ini atau membabitkan hal syurgawi. Malah saya pernah anjurkan majlis keraian atau ulang tahun kelahiran dengan menjamu anak yatim makan, jadi ia bukan benda baru pun saya mengundang pendakwah.

"Ada usikan dan lawaknya memang betul-betul kena tepat kepada batang hidung sendiri... ianya menjadi teguran bermakna dan cerminan untuk diri sendiri.



Che Ta bersama tiga anaknya, (dari kiri) Aaisyah Dhia Rana, Ammar Effendy dan Aniq Ezzra.

"Macam tempoh hari, saya ajak keluarga dan teman rapat untuk sama sama mendengar kuliah daripadanya. Jujur rasa tak puas mendengar kuliahnya ketika itu sebab dia perlu bergegas ke tempat lain.Tak apa ada rezeki lain, boleh ajak dia lagi," katanya.

Bercakap mengenai karier lakonan, isteri kepada aktor Zain Saidin ini berkata dia sibuk menjalani penggambaran sebuah drama.

"InsyaAllah hujung bulan ini kalau tak ada aral melintang, saya akan ke Perlis untuk penggambaran drama 13 episod berjudul Ayahanda terbitan Zeel Production.

"Nampak gayanya saya akan menyambut Ramadan di sana kerana penggambaran drama itu 100 peratus dilakukan di situ," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama Dia Isteriku berganding dengan Hafidz Roshdi untuk TV AlHijrah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain