suria

Lisa Surihani hamil lagi, Yusry akhirnya buka mulut bakal timang anak ketiga - “Tentunya kami amat bersyukur kepada Allah”

Foto Yusry dan Lisa yang memperlihatkan 'baby bump'.

TIDAK dapat merahsiakan lagi, pelakon dan pengarah Datuk Yusry Abdul Halim mengumumkan isterinya yang juga aktres Datin Lisa Surihani kini sedang hamil cahaya mata ketiga.

Pelakon berusia 48 tahun itu berkongsi perkara berkenaan menerusi Instagram selepas menerima banyak pertanyaan netizen dan pihak media susulan muat naik foto ulang tahun ke-9 perkahwinan mereka pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Nora Ariffin, Habsah Hassan dan Yusry Abdul Halim kini bergelar Datuk, dikurnia pingat Panglima Mahkota Wilayah

Bagaimanapun Yusry menjelaskan dia dan isterinya tidak berniat untuk merahsiakan berita gembira tersebut kerana beranggapan kehamilan ketiga itu tetap akan diketahui ramai tanpa perlu pengumuman.



Yusry berkongsi perkara itu di Instagram pada Rabu.

"Selepas berkongsi foto sempena ulang tahun perkahwinan bersama isteri, ada beberapa yang berteka-teki sama ada isteri saya mengandung. Pada hari ini, ada wartawan minta pengesahan.

"Tanpa niat ingin bersembunyi, kami cuma ambil pendekatan dengan fikiran, mungkin kali ini tak perlu untuk pengumuman, lambat laun orang akan tahu juga. Anugerah ini tentunya kami amat bersyukur kepada Allah," tulisnya.

Sebelum ini, teka-teki mengenai Lisa sedang berbadan dua mula menjadi perbualan hangat netizen di laman sosial selepas Yusry memuat naik foto bersama yang memperlihatkan bentuk badan isterinya kelihatan ‘baby bump’.

Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk mereka.

YUSRY ABDUL HALIM

PELAKON

Ruang komen di perkongsian tersebut turut dipenuhi dengan ucapan tahniah daripada netizen dan rakan selebriti antaranya Fendy Bakry, Sara Ali, Daphne Iking serta ramai lain.

Dalam pada itu, pelakon filem Ular ini mendedahkan berita gembira tersebut juga sudah diketahui oleh keluarga dan rakan rapat mereka.

Yusry berkata dia memahami ramai pasangan yang sudah bertahun lama berusaha untuk mendapatkan cahaya mata dan berharap Allah juga akan memakbulkan doa mereka.



Lisa dan Yusry mempunyai dua orang cahaya mata.

"Ia sudah dikongsikan dalam kalangan keluarga dan rakan rapat. Pada masa yang sama, terdetik di hati kami, memahami ada juga yang cuba bertahun lama untuk mendapatkan zuriat.

"Ia bukan sesuatu yang senang untuk dilalui, dan kami mendoakan mereka. Moga doa mereka dimakbulkan, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk mereka.

"Tambahan pula, dalam keadaan pandemik ini, banyak lagi masalah negara dan keluhan rakyat yang perlu dititikberatkan. Moga Allah melindungi kita semua. Terima kasih kepada mereka yang sudi mendoakan yang baik-baik untuk kami. Stay safe semua," ujarnya.

Ahli kumpulan KRU itu mendirikan rumah tangga dengan Lisa pada 23 Februari 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Yahaira dan Yusof.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain