suria

Seminggu belajar menari, Khodi (LCK2) tampil unik dalam MV 'Lenggang' - “Sesiapa dengar pasti nak menari”

Khodi (tengah) seronok dapat belajar tarian asli.

SELEPAS menyertai program Lagu Cinta Kita musim kedua (LCK2), penyanyi Khodi kini mempertaruhkan lagu pertama yang cukup unik berjudul Lenggang.

Mencari sesuatu kelainan, Khodi atau nama sebenarnya Seri Khodijah Kamarul Bahrin mengangkat seni tarian tarian asli dalam video muzik (MV) lagu tersebut.

"Bagi saya lagu ini mempunyai melodi dan rentak yang unik. Sebaik mendengar, melodinya akan melekat terus dalam ingatan. Ia tidak mudah dilupakan.

"Rentak elemen asli dalam lagu ini juga sangat menghiburkan dan boleh membuat sesiapa saja terasa nak menari. Saya boleh katakan, lagu ini mampu mencipta satu perasaan indah.

Khodi teruja belajar menari.

"Paling teruja, saya berpeluang untuk menari sendiri koreografi tarian Lenggang. Semestinya ia pengalaman baru disebabkan saya bukan seorang penari. Koreografinya menggabungkan tarian melayu, keraton dan bagi korus pula tarian inang," katanya.

Gemar bereksperimen dengan pelbagai jenis rentak lagu, penyanyi berusia 20 tahun ini mengakui kekuatan utama Lenggang adalah tidak lain melodinya yang pantas melekat di sanubari.

Dalam pada itu, Khodi meluahkan rasa syukur mendapat bimbangan penerbit lagu itu iaitu Shazee dan pereka tari Emma Tosh serta Raja Eizureen dalam menghasilkan karya tersebut.

Koreografinya menggabungkan tarian melayu, keraton dan bagi korus pula tarian inang.

KHODI

PENYANYI

"Saya sangat menghargai bimbingan dan kerjasama yang diberikan oleh penerbit hebat ini sepanjang proses rakaman. Selesai rakaman, saya dan pasukan menetapkan konsep MV Lenggang pula.

"Bagi saya, tariannya juga antara cabaran besar kerana ini adalah kali pertama saya benar-benar menari. Dalam tempoh seminggu, pereka tari berusaha mengajar langkah tarian dan barulah saya tahu menyanyi sambil menari bukan mudah.

Khodi berharap lagu terbaharunya dapat diterima pendengar.

"Pengalaman berharga ini banyak mengajar. Alhamdulillah, hasilnya sangat memuaskan hati dan saya sangat bersyukur dipertemukan dengan insan-insan seni yang handal belaka.

"Saya juga tidak mensasarkan lagu ini untuk golongan tertentu sebab bagi saya lagu ini sesuai untuk masyarakat sejagat. Semua boleh menikmatinya," ujarnya.

Khodi yang juga penuntut jurusan Diploma Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pernah tampil dengan single pertama berjudul Ke Mana.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain