suria

Nasib tak menyebelahi Habib, tersingkir di minggu keenam 'Mic ON!'

Habib gagal meneruskan perjuangan di pentas Mic ON!.

PERJALANAN peserta Habib di pentas program realiti nyanyian terbitan Awesome TV, Mic ON! berakhir apabila dia diumumkan tersingkir pada minggu keenam yang bertemakan 'Legenda'.

Walaupun Habib yang menyanyikan lagu Ghazal Untuk Rabiah (Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M Nasir) telah diserap masuk kumpulan Shuk tetapi nasib tidak menyebelahinya untuk meneruskan perjuangan di minggu ketujuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Adik Hazama, Yujie peserta kedua tersingkir di konsert Mic ON!

Juri tetap iaitu Datuk M Nasir mengakui lagu duet bersama Jamal Abdillah itu sememangnya sukar untuk dinyanyikan jika tidak biasa menyampaikannya.



Habib diserap masuk dalam kumpulan Shuk namun gagal meneruskan perjuangan.

Manakala penyanyi dangdut Mas Idayu yang juga selaku juri memuji persembahan Habib namun menganggap peserta itu kelihatan tidak fokus menyebabkan markahnya rendah.

Dengan penyingkiran Habib yang merupakan anak didik pelawak Shuk Sahar, kini tinggal sembilan peserta masih lagi meneruskan perjuangan bagi merebut gelaran juara Mic ON! musim pertama terbitan Awesome TV.

Mereka yang masih bertahan ialah Jiwa, Qmir, Azmi, Aaron, Sunio, Yad, Herman, Ainnur dan Meerlyn.



M Nasir dan Mas Idayu selaku juri Mic On!.

Pada minggu sebelum ini, peserta Yujie menjadi peserta kedua tersingkir selepas memperoleh markah terendah.

Untuk membantu para peserta sepanjang program ini, mereka diberi pengurus untuk membantu daripada segi kreativiti persembahan iaitu Shuk, Ropie dan Fad Bocey.

Program yang dihoskan oleh pengacara Nana Mahazan itu bersiaran pada setiap Jumaat pukul 9 malam di Awesome TV, saluran 112, MyTV.

Siaran ulangan boleh ditonton di laman sesawang rasmi Awesome TV, www.awesometv.my dan penonton boleh mengikuti perkembangan terkini Mic ON! melalui kesemua akaun media sosial Awesome TV.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain