suria

Lagu terakhir Sandra Dianne tentang kisah cinta Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari

Arwah Sandra merakam lagu terakhir pertengahan tahun ini tentang kisah cinta Ashraf dan BCL.

SELEPAS lebih tiga bulan pemergiannya, lagu terakhir nyanyian Allahyarham Sandra Dianne yang berjudul Sandra dilancarkan baru-baru ini.

Walaupun Sandra atau nama sebenarnya, Alessandra Dianne Ampuria tidak sempat mendengar hasil kerja terakhirnya itu namun komposer lagu tersebut, Jonathan Tse dan Mohariz Yaakub tetap ingin berkongsi bingkisan lagu itu kepada peminat setia Allahyarham.

ARTIKEL BERKAITAN: Ajai terkilan lagu ciptaannya tak sempat dinyanyikan Sandra Dianne - “Dah siap tahun lalu tapi banyak perkara berlaku”

"Lagu ini saya cipta bersama Mohariz tanpa menetapkan siapa penyanyi tepat pada asalnya. Sebaik Sandra mendengarnya, dia terus jatuh cinta dan mahukan lagu ini.

"Kami pun memang tahu kualiti nyanyiannya dan bersetuju memberinya kepada Sandra. Tidak sangka, Sandra berjaya menyuntik magis sendiri dalam nyanyian, bahkan dia menambah elemen uniknya sendiri," katanya.



Komposer lagu Sandra, Jonathan Tse.

Menurut Jonathan, inspirasi lagu ini sebenarnya diambil daripada kisah pemergian Allahyarham pelakon Ashraf Sinclair yang meninggal dunia awal tahun ini.

Kami pun memang tahu kualiti nyanyiannya dan bersetuju memberinya kepada Sandra.

JONATHAN TSE

KOMPOSER

"Kisah yang menimpa Bunga Citra Lestari selepas kehilangan suaminya itu memang sangat meruntun hati. Daripada situlah idea untuk menulis lagu ini tercetus.

"Idea itu sendiri saja pun sudah cukup menggambarkan bagaimana emosi yang disalurkan dalam lagu ini.



Sandra Dianne meninggal dunia pada 11 September lalu akibat nahas jalan raya.

"Namun, saya puji Sandra apabila berjaya menyalurkannya dengan baik. Selepas mendengarnya, Sandra pantas menguasai dan tahu bagaimana untuk menghidupkan lagu ini," katanya.

Proses rakaman lagu Sandra yang hanya mengambil masa selama sebulan itu telah dilakukan pada pertengahan tahun ini.

Sandra meninggal dunia pada 11 September lalu selepas terbabit dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan untuk sesi latihan konsert Big Stage 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain