suria

Ada sebab Mimi Fly pilih tajuk lagu 'Hujan', impian kolaborasi dengan Altimet tercapai - “Lagu ini dapat tenangkan segala depresi”

Mimi Fly teruja dapat bergandingan bersama Altimet.

PERTAMA kali bergandingan bersama Altimet dalam lagu, penyanyi Mimi Fly berkata kerjasama itu merupakan satu tawaran keemasan yang tidak mungkin ditolak.

Menurut Mimi, kolaborasi dalam lagu terbaharu berjudul Hujan itu merupakan satu penghargaan buat dia dan kerjaya seninya.

"Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Altimet dan ia antara salah satu impian saya sebagai anak seni.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun menghilangkan diri, Balqis (Mentor) muncul dengan ‘Buaya’ bersama Mimi Fly!

"Lagu ni amat bermakna buat saya sekali gus ia dapat membantu menenangkan segala depresi dan anxiety yang kita semua sedang hadapi kerana lagu ini memang mengisahkan mengenai segala persoalan dalam diri kita semua.

"Saya berharap lagu ini dapat menembusi hati dan telinga pendengar dan juga penyokong muzik, ” katanya.



Hujan ada banyak mesej tersirat.

Hujan merupakan ciptaan Mimi dan Khairafik Khairudin serta lirik oleh Mimi dan Altimet.

Lebih istimewa, lagu ini turut dicipta khas untuk filem Bisikan yang dijangka akan ditayangkan pada Februari depan.

Bercakap mengenai keunikan Hujan, Mimi berkata mesej yang disampaikan dalam lagu itu dapat memberikan inspirasi kepada semua yang mendengar.

Alhamdulillah, lagu Hujan dapat dilancarkan walaupun proses rakaman dan menyiapkan lagu ini dibuat semasa tempoh PKP.

MIMI FLY

PENYANYI

Meskipun berdepan kesulitan semasa proses rakaman, namun ia sama sekali tidak menghalang mereka menghasilkan karya terbaik untuk peminat muzik tanah air.

"Selepas berakhir Gegar Vaganza tahun lalu, saya terus fikir untuk mencipta melodi dan lirik bersama penerbit muzik iaitu Khairafik Khairudin dan juga Altimet.

"Ia mengambil masa lebih kurang hampir lima bulan untuk menyiapkan lagu kerana jadual kami yang sentiasa sibuk dan juga selama tiga bulan kita tidak dibenarkan keluar kerana Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP). Alhamdulillah, kami masih dapat menyiapkannya walaupun proses rakaman dan menyiapkan lagu ini dibuat semasa tempoh PKP.



Mimi dah lama mengimpikan peluang kolaborasi bersama Altimet.

"Tajuk Hujan dipilih kerana sedang saya dalam proses untuk mencipta lagu ni, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya dan kalau kita tengok konteks hujan itu sendiri, hujan jatuh ke bumi untuk membasahi dan memperbaiki bumi serta membasuh segala kekotoran. Ia sangat menepati dengan konsep lagu dan mesej yang ingin sampaikan, ” katanya.

Menariknya untuk video muzik (MV) Hujan, proses rakaman hanya menggunakan telefon bimbit iPhone 11 Pro Max, namun hasilnya menerima pujian penonton di laman YouTube.

Hujan boleh didengari di semua platform digital bermula Sabtu lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Mimi fly, altimet, hujan, depresi, bisikan, filem, ost

Artikel Lain