suria

Penyanyi legenda R Ismail meninggal dunia pada usia 83 tahun

Penyanyi legenda R Ismail meninggal dunia pada petang Ahad - Foto ESPLANADE

PENYANYI irama tradisional yang popular era 1960-an, R Ismail meninggal dunia di Hospital Besar Sengkang, Singapura pukul 2.40 petang Ahad.

Allahyarham yang kini berusia 83 tahun dilaporkan mengalami kegagalan jantung, buah pinggang dan paru-paru dan dirawat di hospital sejak minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Sandra meninggal dunia selepas 6 hari bertarung nyawa di ICU

Anaknya Mohammad Elfie berkata, penyanyi yang popular dengan lagu Gurindam Jiwa itu menade sakit perut, lemah badan dan tiada selera makan sebelum dibawa ke hospital.

"Sebelum ini, arwah bapa pernah menghidap penyakit jantung, bagaimanapun sudah lama tidak menyerang.

"Doktor bertemu saya dan memaklumkan keadaan bapa sudah kritikal, pagi tadi. Mereka tidak mampu berbuat apa lagi berikutan bapa sudah berusia dan meminta saya berbincang bersama adik beradik untuk membawanya pulang.

"Arwah bapa masih boleh bercakap dan bergurau sebelum dimasukkan ke hospital. Bagaimanapun, keadaan arwah semakin lemah, mungkin kesan ubat dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU)," katanya seperti dipetik BH Online dan Berita Harian Singapura.

Jenazah R Ismail atau nama sebenarnya, Ismail Abdul Rahman, dijangka akan dikebumikan pada pagi Isnin.

Allahyarham meninggalkan balu, Rokiah Mat Shukor, 70.

Menerusi perkahwinan bersama Rokiah dikurniakan empat cahaya mata dan enam cucu.

Penyanyi itu turut mempunyai tujuh cahaya mata lain menerusi perkahwinan sebelum ini.

R Ismail yang memiliki suara emas dikenali dengan lagu popular seperti Seri Mersing, Laila Majnun, Selasihku Sayang, Tudung Periuk, Gelombang dan Dari Hati Ke Hati dibesarkan dalam lingkungan keluarga seni.

Allahyarham memulakan kerjaya nyanyian pada usia 11 tahun dan merakamkan lagu pertama berjudul Setangkai Bunga Raya dalam bentuk piring hitam.

Allahyarham pernah meminjamkan suara untuk filem Lela Satria arahan S Roomai Noor.

Difahamkan, beliau meminjamkan suara untuk lebih 10 filem dan kebanyakannya untuk filem lakonan Allahyarham Nordin Ahmad kerana memiliki tona suara yang sama.

Antaranya, Lancang Kuning, Dang Anum, Jula Juli Bintang Tujuh, Indera Bangsawan dan Gurindam Jiwa.

SUMBER: BH ONLINE, BERITA HARIAN SINGAPURA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain