suria

Ali Puteh pula saman kakak ipar, Nor Hidayah mengaku ambil RM10,000 dan empat utas jam arwah Abam

Ali bertindak memfailkan saman terhadap kakak iparnya bagi membersihkan maruah keluarga.

KEMELUT antara pelawak Ali Puteh dan kakak iparnya iaitu Nor Hidayah Mohd Ali yang bermula sejak Februari lalu terus berlarutan sehingga kini.

Terbaharu Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 31, bertindak memfailkan saman balas terhadap Nor Hidayah dan jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Nor Hidayah kecewa lagi, batu nisan pusara Abam dibuat tanpa bincang - “Saya tahu lepas tengok di Instagram”

ARTIKEL BERKAITAN: Ali Puteh mengamuk lagi! - “Ayuh jumpa kalau nak maki atau hina saya! Jangan di IG sebab tak gentle”

Menurut Ali, dia mengambil tindakan tersebut selepas mendapatkan nasihat daripada peguamnya berikutan balu kepada Allahyarham Abam Bocey itu terlebih dahulu memfailkan saman terhadap dia dan keluarganya.

Ali failkan saman terhadap Nor Hidayah.

"Pihak mereka mengeluarkan saman terhadap kami dahulu. Selepas mendapat nasihat daripada peguam saya, beliau menyarankan agar kami pula mengambil tindakan terhadap Hidayah.

"Itupun selepas perbincangan dan mengambil kira beberapa faktor seperti kesan emosi kami sekeluarga sebaik sahaja video Hidayah bersama jutawan kosmetik Aliff Syukri menjadi tular.

"Banyak yang kami tanggung akibat video tersebut. Ibulah yang paling terkesan apabila kami ditohmah dan menjadi bahan hinaan masyarakat," kata Ali seperti dilaporkan Astro Gempak.

Difahamkan, sebutan kes tersebut telah berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu.

Kami sekeluarga hanya mahu membersihkan maruah kami yang selama ini dipijak-pijak.

ALI PUTEH

PELAWAK

Saman tersebut dikeluarkan oleh Ali selaku plaintif keempat bersama ibunya Sabariah Arshad (plaintif pertama), bapa Syed Mohd Ridzuan (plaintif kedua) dan kakak sulung Sharifah Norwahidah (plantif ketiga).

Nor Hidayah selaku defendan pertama mengaku membawa duit tabung berisi wang kertas didakwa hasil tabungan bersama arwah suaminya dan empat utas jam tangan keluar dari rumah.

Defendan turut mengaku mengeluarkan wang RM10,000 daripada akaun bank milik Abam dan memasukkan kesemuanya ke dalam akaun anak mereka iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey kerana bimbang direbut plaintif.

Malah Nor Hidayah memberitahu dia tidak bertanggungjawab terhadap semua kenyataan yang dibuat defendan kedua (Aliff Syukri) atau wakil atau ejennya dalam rakaman video yang tular sebelum ini.

Ibu Ali paling terkesan dengan kontroversi yang berlaku antaranya dengan Nor Hidayah.

Dalam pada itu, Ali menegaskan dia dan keluarganya ingin membersihkan maruah yang telah tercalar dan berharap segala kebenaran akan terjawab.

"Kami sekeluarga hanya mahu membersihkan maruah kami yang selama ini dipijak-pijak. Sebelum ini dia (kakak ipar) kata dihalau dari rumah sehelai sepinggang tetapi hari ini dia kata tidak bertanggungjawab dengan semua kenyataan dikeluarkan menerusi video Aliff Syukri.

"Semoga kebenaran akan terjawab selepas ini. Mungkin inilah yang Allah SWT nak tunjukkan selepas kami sekeluarga bersabar sekian lama. Saya bersyukur.

"Apa-apa pun saya maafkan semua yang telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kami sekeluarga," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain