Anggap kerjaya YouTuber haram, Alieff Irfan tak setuju pendapat Ustaz Abu Syafiq - “Halal atau haram itu kerja Allah!”

Alieff Irfan kesal dengan pandangan Ustaz Abu Syafiq.

KENYATAAN kontroversi pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq yang mengatakan kebanyakan pendapatan yang diperoleh YouTuber haram menerima pelbagai reaksi netizen di media sosial.

Bagi personaliti YouTube, Alieff Irfan atau nama sebenarnya Muhammad Aliff Irfan Aziki, 23, pendakwah itu tidak sepatutnya terus menjatuhkan hukum halal atau haram kepada sesuatu perkara di luar pengetahuannya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bimbang terjerumus ke lembah maksiat” - Youtuber Alieff Irfan kahwin di usia muda

"Kalau dia rasa dia tuhan dan boleh menentukan benda tu halal atau haram, saya pun tak boleh nak cakap apa. Tiada siapa yang boleh menentukan sesuatu perkara itu halal atau haram kerana itu kerja Allah.

"Apa yang saya buat ni berdasarkan apa yang saya kaji, lihat dan apa yang saya belajar dalam dunia seni dan perkara itu tidak bertentangan dengan agama Islam," ujarnya kepada mStar.



Alieff tak setuju pandangan Ustaz Abu Syafiq.

Dalam pada itu, Alieff yang mempunyai lebih 2.7 juta pelanggan di Youtube berpendapat karya yang dihasilkan adalah berdasarkan kajian dan mempunyai pengajaran tersendiri.

Tambah Alieff lagi, dia tidak pernah menganggap kerjaya sebagai YouTuber ini sebagai jaminan untuk dia menjalani kehidupan yang mewah.

"Saya cuba sebaik mungkin dalam kerjaya saya sebagai seorang pengarah filem di YouTube.

"Kalau rezeki saya setakat tu, setakat tu la ia. Tapi dalam dunia ni tiada apa pun yang terjamin, ada naik dan turun," ujarnya.

Tiada siapa yang boleh menentukan sesuatu perkara itu halal atau haram kecuali Allah.

ALIEFF IRFAN

YOUTUBER

Sebelum ini, Ustaz Syafiq menerusi Instagram menuduh pendapatan hasil menjadi seorang YouTuber kebanyakannya haram.

Katanya, pekerjaan itu juga tidak menjamin kesenangan hidup di muka bumi ini.

Malah, dia menasihatkan YouTuber agar mencari pekerjaan lain dan menjauhi fitnah yang dilakukan menerusi saluran itu.

Nama Alieff Irfan mula diperkatakan selepas penghasilan video yang diinspirasikan daripada kisah popular, Cikgu Suraya, sekitar Oktober lalu.

Alieff mula menghasilkan video YouTube sejak tahun 2006, bermula dengan 1,000 pelanggan sahaja.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain