suria

Tiada acara hiburan, Aiman Tino cari duit jual air mangga - “Dah alang-alang tak buat apa-apa, lebih baik saya berniaga!”

Aiman Tino cari duit tambahan dengan menjalankan perniagaan air minuman.

SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, anak seni yang terlibat dalam bidang nyanyian merupakan antara yang paling terkesan dengan pelaksanaan peraturan berkenaan.

Enggan sekadar duduk diam sahaja, penyanyi Aiman Tino berkata dia menerokai pelbagai jenis perniagaan bagi menambah sumber pendapatan termasuklah menjalankan perniagaan air minuman berperisa buah mangga, Aimango.

"Seperti yang kita tahu, dalam tempoh PKP sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini semua acara hiburan dan persembahan ditangguhkan buat sementara waktu.

ARTIKEL BERKAITAN: Aiman Tino tidak letak sasaran untuk berkahwin - “Tidak tahu bila jodoh akan tiba”

"Jadi buat masa ini memang saya tak ada persembahan... kalau ada pun hanya hadiri jemputan program televisyen dan sebagainya sahaja.



Aiman seronok berniaga.

"Dah alang-alang tak ada buat apa-apa di rumah, saya pun cubalah pelbagai perniagaan dan terbaharu air minuman berperisa buah mangga... bolehlah untuk tambah-tambah sumber pendapatan!," katanya kepada mStar.

Sementara itu, penyanyi lagu Benci ini memberitahu perniagaan air minuman itu mula diperkenalkan pada Isnin lalu dan menerima sambutan hebat pelanggan.

Malah, Aiman tidak malu mengakui minuman itu disediakan sendiri olehnya dan dia juga bertindak sebagai 'runner' yang akan menghantar minuman yang ditempah pembeli di sekitar Lembah Klang.



Aiman tak malu turun padang hantar minuman yang dibeli oleh pelanggan.

"Air ini memang saya sendiri yang buat dan saya juga yang akan hantar kepada pembeli. Memandangkan sejak kecil saya memang minat berniaga, jadi tiada rasa malu untuk turun padang jumpa pelanggan.

"Alhamdulillah, sambutan sangat baik... dalam masa seminggu memulakan perniagaan ini, lebih 500 botol sudah terjual.

"InsyaAllah, apabila keadaan semua sudah kembali pulih dan dibenarkan bekerja, perniagaan ini akan tetap diteruskan. Kami rancang nak tambah lagi perisa lain dan menambah ejen jualan di setiap kawasan," ujarnya.

Bercakap mengenai karier nyanyian, Aiman memberitahu dia bakal muncul dengan single baharu tidak lama lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Aiman Tino

Artikel Lain