suria

Tidak terima tetamu, Luqman Faiz sambut raya secara sederhana - “Pakai saja apa yang ada, mungkin pakai baju raya lama atau jubah”

Luqman dan keluarga beraya secara sederhana tanpa sebarang persiapan khusus.

MENJELANG kedatangan Syawal tidak lama lagi, penyanyi Luqman Faiz berkata dia dan keluarga tidak membuat sebarang persediaan khusus bagi meraikan hari kemenangan umat Islam itu.

Menurut Luqman, 20, segala persiapan dibuat secara sederhana berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa di negara kita bagi membendung penularan wabak Covid-19.

"Seperti biasa, tahun ini kami sekeluarga beraya di Shah Alam, Selangor... cumanya kali ini lebih berbeza, tanpa kehadiran tetamu! Mujurlah rumah nenek sebelah rumah saya sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Luqman Faiz lepaskan kesedihan putus cinta di gim - “Kami masih berhubung... bercinta balik tak mungkin!”

"Memandangkan negara dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19, jadi persiapan raya pun biasa-biasa sahaja... pakai apa yang ada sahaja, mungkin pakai baju raya lama dan rasanya tahun ni saya nak sarung jubah sahaja.

"Apa-apa pun pesanan saya kepada seluruh rakyat Malaysia, sentiasa amalkan penjagaan diri, duduk sahaja di rumah, tak perlu keluar nak beraya ke mana-mana... sekarang ni kan ada video call, boleh saja bertanya khabar melalui telefon bimbit," katanya kepada mStar.



Luqman Faiz ikuti kuliah dan pengajian secara atas talian.

Sementara itu, penyanyi lagu Kepuraanmu ini turut melalui perubahan fasa baharu pendidikan apabila dikehendaki mengikuti kelas secara atas talian.

"Walaupun PKP tapi kelas tetap berjalan macam biasa, saya ikuti kelas secara online, tugasan semuanya dibuat melalui medium komunikasi yang ada.

"Bagi saya setiap perkara ada kelebihan dan kekurangan, kelebihan secara online ni lebih senang sebab di mana-mana pun boleh mengikuti kelas dan tak perlu nak berjumpa.



Luqman dan keluarga sambut raya secara sederhana.

"Tapi masalahnya kalau ada benda yang kita kurang faham, susah sedikitlah nak jumpa pensyarah kerana melalui online agak terbatas," ujarnya.

Luqman merupakan pelajar tahun kedua diploma pengajian muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Dalam perkembangan lain, Luqman berkolaborasi bersama penyanyi Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Fieya Julia, Fara Hezel dan Yazid Izaham dalam lagu raya terbaharu berjudul Suasana Hari Lebaran.

Lagu ciptaan komposer hebat, S Atan dan lirik oleh Siso Kopratasa sudah dimuat naik di laman YouTube Aries Music sejak 12 Mei lalu.

Luqman Faiz

Artikel Lain