suria

Tamat kontrak hos Melodi, Ajak Shiro kini lengkapkan Team Pagi Suria di Suria FM

Ajak akan melengkapkan gandingan Team Pagi Suria bersama Fizi Ali dan Issey Fazlisham.

PELAWAK Ajak (Shiro) diumumkan sebagai penyampai baharu segmen Team Pagi Suria bermula Selasa ini.

Menurut Ajak, 34, dia bersetuju menerima tawaran menyertai stesen berkenaan setelah kontraknya sebagai pengacara sebuah program televisyen berakhir tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan suka hati nak panggil orang pun***” - Ajak Shiro hilang sabar netizen biadab tinggal komen negatif

“Sebenarnya apabila saya umum tinggalkan stesen radio lama, Suria sudah tawarkan peluang tapi pada masa itu belum sesuai untuk menyertai radio.

“Akhirnya setelah setahun, saya decide untuk kembali menjadi penyampai radio.

“Selepas setahun hidup rasa sunyi pula, memandangkan saya bukan lagi pengacara Melodi, jadi saya rasa ini masa yang sesuai kerana masih ada masa untuk saya bersama keluarga,” katanya kepada mStar.

Pengalaman sebagai penyampai radio serta pengacara televisyen dilihat sebagai bonus bagi Ajak.

Ajak ditemui semasa majlis pengumuman Team Pagi Suria yang diadakan Nicsmann 1940s By Lewre The Starling, Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.

Ajak bergandingan dengan dua lagi penyampai iaitu Fizi Ali dan Issey Fazlisham menerusi segmen Team Pagi Suria bermula pukul 6 pagi hingga 10 pagi setiap Isnin hingga Jumaat.

Untuk rekod, Ajak pernah menyertai stesen radio Hot FM selama tiga tahun dan meninggalkan stesen tersebut pada Februari tahun lalu.

Sementara itu Pengurus Kanan Suria, Roslinda Abd Majid atau Dj Lin, berkata pemilihan Ajak bergandingan bersama dua penyampai iaitu Issey dan Fizi adalah atas pengalamannya sebagai penyampai radio sebelum ini.

“Kredibiliti Ajak sebagai pelawak, pengacara dan juga penyampai radio berpengalaman merupakan antara kelebihan.

“Diharapkan (pemilihan Ajak) boleh membantu meningkatkan lagi jumlah pendengar Suria sama ada menerusi platform radio mahupun digital,” ujarnya.

Ajak Shiro, Suria FM, Team Pagi Suria

Artikel Lain