suria

Pemilihan Azhar Amir sebagai Tun M jadi pertikaian - “Saya sendiri tak sangka, ada pelakon lain lebih hebat!”

Azhar teruja diberi peluang membawakan watak seorang pemimpin hebat dari Malaysia.

BELUM pun memulakan penggambaran, filem Mahathir, The Journey telah menerima kritikan apabila kelayakan pelakon utama Azhar Amir membawakan watak Tun Dr Mahathir Mohamad dipertikaikan segelintir pihak.

Menyedari akan ada yang membandingkannya dengan pelakon hebat lain, Azhar, 43, berkata dia berjanji akan menggalas tugas yang diberikan dengan sebaik mungkin.

"Saya sedar akan ada yang mempertikaikan mengapa Azhar Amir yang dipilih, saya sendiri sebenarnya tak sangka dapat peluang bawa watak utama tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Marina anggap filem ‘Mahathir, The Journey’ memalukan, penerbit jawab - “Ini bukan kisah Marina”

ARTIKEL BERKAITAN: Dazrin kurangkan berat badan setelah ditegur penerbit drama - “Tapi bukan guna dadah untuk kurus!"

"Walaupun ia agak mencabar tetapi sebagai pelakon saya kena bawa watak yang diberi sebaik mungkin... contohnya kalau bawa watak suami, kita akan berlakon sebaiknya. Begitu juga dengan karakter lain!

"Saya anggap peluang ini sebagai satu cabaran, sebelum pemilihan ini ada pelakon lain yang datang uji bakat lebih hebat daripada saya," katanya kepada mStar.

Azhar Amir membawakan watak perdana menteri dan Fauziah Latiff sebagai Tun Dr Siti Hasmah.

Menerusi filem tersebut, Azhar akan membawakan watak Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Filem arahan Prof Dr Hatta Azad Khan ini bakal menjalani penggambaran bermula Disember dan dijangka akan ditayangkan pada tahun depan.

Filem kita mengenai perjalanan Tun M selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018.

AZHAR AMIR

Pelakon

Dalam masa yang sama, filem berkaitan isteri perdana menteri iaitu Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berjudul Hasmah Bila Deh Bertemu Det turut dijangka akan ditayangkan pada tahun 2020 dan memberi saingan kepada filem Mahathir, The Journey.

Filem Hasmah itu menampilkan Nad Zainal sebagai Tun Dr Siti Hasmah dan Hasnul Rahmat sebagai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menjawab mengenai kekeliruan yang mungkin akan timbul dalam kalangan penonton, Azhar berkata kedua-dua filem mempunyai keistimewaan tersendiri.

Barisan pelakon filem Mahathir, The Journey.

"Daripada apa yang kita tahu, filem itu mengenai bioskop kehidupan Tun Dr Siti Hasmah. Ia perjalanan kehidupan muda Tun Hasmah dan Tun Dr Mahathir.

"Ada perbezaan termasuklah time frame (latar masa), di mana filem kita mengenai perjalanan Tun M selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018," ujarnya.

Selain Azhar, barisan pelakon filem terbabit ialah Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah), Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Datuk Seri Wan Azizah), Lisdawati (Nurul Izzah), Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Afieq Hussain (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan Harminder Singh (Gobind Singh Deo) dan Dazrin (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman).

Filem terbitan Reliance Media ini yang menelan bajet sebanyak RM6 juta dijangka akan menjalani penggambaran di beberapa buah lokasi antaranya, Putrajaya, Kedah, Kelantan, dan Hiroshima, Jepun.

Artikel Lain