suria

Yazit Search meninggal dunia... Al-Fatihah

Yazit meninggal dunia pada usia 57 tahun.

BERTARUNG nyawa di Pusat Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur sejak Selasa lalu, bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad akhirnya meninggal dunia akibat kerosakan otak kira-kira pukul 11.53 pagi, Khamis.

Isteri kepada Yazit, 57, iaitu Ramlah Ahmad memberitahu segala urusan pengebumian jenazah suaminya akan diuruskan di Masjid Salahuddin Al-Ayubbi Taman Melati, Kuala Lumpur atas permintaan adik Allahyarham, Zahid Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN: Yazit Search kritikal, masuk ICU kerana kecederaan otak

"Yazit disahkan meninggal dunia pada pukul 11.53 pagi selepas doktor menghentikan alat bantuan pernafasan.

"Walaupun pihak hospital boleh menguruskan jenazah tapi atas permintaan adik arwah, Zahid nak segalanya diuruskan di masjid.

Yazit bersama isterinya, Ramlah Ahmad ketika ditemui di kediaman mereka pada Mei lalu.

"Jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah," kata Ramlah ketika dihubungi mStar.

Sebelum ini anak bongsunya, Sheeqa Yazit, 28, memaklumkan bapanya itu berada dalam keadaan kritikal dan hanya bergantung pada mesin pernafasan.

Arwah dikejarkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas kira-kira pukul 3.30 pagi, pada Selasa lalu dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Wad Urologi dan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Yazit sebelum ini pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas selain menghidap penyakit paru-paru berair dan kerosakan pada buah pinggang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Ramlah Ahmad dan mempunyai tiga anak (termasuk anak tiri hasil perkahwinan terdahulu Ramlah).

Gambar kenangan Yazit bersama Amy dan anggota kumpulan Search pada 2011.

Search ditubuhkan oleh Yazit dan merupakan pemain dram kumpulan itu sejak dari tahun 80-an.

Mereka terkenal dengan lagu Isabella, Fantasia Bulan Madu, Rozana, Pawana, Kejoraku Bersatu dan Laila Namamu Teratas.

Sepanjang penubuhannya kumpulan rock lagenda ini telah menghasilkan lebih 20 album studio yang laris terjual.

Ia sekali gus menjadikan mereka antara kugiran rock yang terunggul di Malaysia sepanjang tahun 1980-an hingga 1990-an.

Yazit Ahmad, Search

Artikel Lain