Alif Satar timang bayi lelaki pada ulang tahun kelahirannya - Hiburan | mStar

Alif Satar timang bayi lelaki pada ulang tahun kelahirannya

Alif menerima kehadiran cahaya mata lelaki pada ulang tahun kelahirannya.

ISTERI penyanyi dan pelakon Alif Satar iaitu Sha Dila, selamat melahirkan bayi lelaki kira-kira pukul 11.21 malam Khamis.

Anak ketiganya itu dilahirkan secara normal seberat 3.54 kilogram di sebuah pusat perubatan di Bangsar, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Alif Satar syukur isteri hamil semula selepas alami keguguran

ARTIKEL BERKAITAN: “Dah tahun 2019, hentikan lawak body shaming” - Alif Satar akui belum cukup sempurna untuk terima pujian

Lebih istimewa kehadiran cahaya mata lelaki pertama itu pada ulang tahun kelahiran Alif ke-29.

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi ucapan dan mendoakan menerusi laman Instagram miliknya.

Antara perkongsian dimuat naik Alif.

“Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Isteri saya, Sha Dila melahirkan anak ketiga kami kira-kira pukul 11.21 malam Khamis, 19 September 2019.

“Ia bayi lelaki yang sihat!

“Terima kasih juga semua atas ucapan hari jadi,” ujarnya.

Sebelum ini Alif pernah mendedahkan isterinya itu mengalami keguguran pada awal tahun ini sebelum disahkan hamil semula tidak lama selepas itu.

Alif dan Sha Dila mendirikan rumah tangga pada September 2014 dan dikurniakan cahaya mata perempuan iaitu Alisha Anugerah, 4, dan Ariana Mecca yang kini berusia dua tahun.

Alif Satar , anak ketiga

Artikel Lain