'Raja Runut Bunyi' akhiri zaman bujang… Ippo Hafiz selamat nikahi model muzik video - Hiburan | mStar

'Raja Runut Bunyi' akhiri zaman bujang… Ippo Hafiz selamat nikahi model muzik video

Ippo menghantar rombongan merisik Fara pada 10 Mac lalu selepas empat bulan berkenalan. - Foto @aqoimran

PENYANYI dan komposer Ippo Hafiz selamat diijabkabulkan dengan suri hati pilihannya, Fara Roslan, 31, dengan sekali lafaz.

Pasangan itu disatukan dalam sebuah majlis sederhana tetapi meriah kira-kira pukul 9.22 malam di Impian Abadi 8, Jalan Ampang pada Sabtu.

Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 30, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM80 berserta wang hantaran sebanyak RM20,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan calang-calang, Ippo Hafiz rancang tiga resepsi... Tapi sebelum itu “Saya jumpa ustaz, berguru sebelum jadi suami”

Penyanyi lagu Saat Bahagia itu menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

Ippo Hafiz sah bergelar suami kepada Fara dengan sekali lafaz. Foto @aqoimran 

Segak dan anggun mengenakan persalinan daripada rona biru cair, majlis berkenaan dihadiri saudara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Pasangan ini dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohd Roslan Marwi dengan disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Abdu Nasir Abdullah.

Majlis resepsi pengantin perempuan akan diadakan pada Ahad manakala acara menyambut menantu di sebelah pihak lelaki pula akan diadakan pada 31 Ogos ini.

Pasangan ini mula mengenali dengan lebih rapat selepas terlibat dalam projek muzik video Saat Bahagia.

Ippo menghantar rombongan merisik pada 10 Mac lalu selepas empat bulan berkenalan.

Lebih menarik, hubungan mereka kian mekar selepas Fara menjadi model muzik video lagu Saat Bahagia yang menjadi runut bunyi drama Pujaan Hati Kanda.

Ippo mula menceburkan diri dalam bidang nyanyian sebagai komposer dan mula dikenali dengan single Rahsia yang menjadi runut bunyi drama bersiri Teman Lelaki Upahan pada 2015.

Ippo Hafiz , Fara Roslan

Artikel Lain