Bukan calang-calang, Ippo Hafiz rancang tiga resepsi... Tapi sebelum itu “Saya jumpa ustaz, berguru sebelum jadi suami” - Hiburan | mStar

Bukan calang-calang, Ippo Hafiz rancang tiga resepsi... Tapi sebelum itu “Saya jumpa ustaz, berguru sebelum jadi suami”

Ippo mempersiapkan diri sebelum bergelar suami orang. Foto Instagram @ippohafiz

BERBAKI kurang dua minggu untuk bergelar suami, penyanyi Ippo Hafiz akui gementar menanti hari pernikahannya dengan Fara Roslan yang akan diadakan pada 24 Ogos ini.

Menurut Ippo atau nama sebenar Muhammad Hafiz Yaziz, 31, memegang status suami bukanlah perkara mudah dan memerlukan tanggungjawab yang besar sebagai ketua keluarga.

"Sejujurnya sampai sekarang saya masih tak percaya kurang dua minggu lagi saya akan bergelar suami orang dan berasa gementar menantikan hari tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Macam cerita dongeng, Ippo Hafiz nak kahwin wanita dalam muzik video sendiri

"Sebagai persediaan saya dekatkan diri dengan Tuhan kerana perkahwinan ini satu amanah dan tanggungjawab. Saya bakal menjadi suami dan dalam masa sama imam kepada isteri dan Insya-Allah anak-anak nanti.

"Saya ada bertanya dengan bapa... jumpa ustaz, berguru sebelum bergelar suami," katanya kepada mStar.

Ippo gementar namun dalam masa sama teruja bakal bergelar suami.

Majlis akad nikah Ippo dan Fara akan berlangsung di sebuah vila yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Majlis resepsi pihak perempuan akan berlangsung pada 25 Ogos ini manakala pihak lelaki pula pada 31 Ogos.

Mereka juga dijangka akan mengadakan majlis resepsi khas untuk rakan-rakan artis pada awal bulan Disember nanti.

Mengulas mengenai tiga majlis resepsi yang akan diadakan kelak, penyanyi lagu Saat Bahagia ini berkata ia akan berlangsung dalam suasana sederhana.

Ujarnya, kesemua majlis diadakan secara kecil-kecilan dan hanya untuk meraikan keluarga, teman-teman, rakan artis dan media yang menyokong kariernya selama ini.

Ippo hasilkan lagu istimewa bersempena hari bahagianya.

"Nampak memang macam banyak dan pasti orang ingat majlis itu besar, tapi sebenarnya kami hanya buat kecil-kecilan dan sederhana sahaja. Yang penting semua orang ada.

"Niat saya hanya untuk meraikan orang sekeliling dan jamu mereka makan. Ibu bapa kami sendiri ada kawan-kawan yang ramai, jadi perlunya majlis resepsi di pihak masing-masing.

"Majlis hujung tahun ini pula untuk rakan-rakan artis, mungkin semasa majlis resepsi bulan Ogos itu nanti ada yang sibuk dan tak dapat hadir, jadi saya buat satu lagi majlis Disember ini untuk mereka hadir," katanya.

Istimewanya pada majlis pernikahan itu nanti, Ippo bakal memperdengarkan lagu tema perkahwinan mereka yang dicipta dan dinyanyikan olehnya.

"Ia lagu bertemakan perkahwinan dan saya akan kongsi sebahagiannya di majlis akad nikah nanti. Jadi, selain majlis akad nikah, akan dirakamkan juga video muzik lagu baru ini.

"Sebelum ini saya banyak hasilkan lagu tema drama. Jadi, apa salahnya kalau saya buat lagu tema untuk majlis sendiri,” ujarnya.

Ippo Hafiz

Artikel Lain