“Imej bertudung hadkan pemilihan watak” - Mira Filzah teringin cuba babak aksi - Hiburan | mStar

“Imej bertudung hadkan pemilihan watak” - Mira Filzah teringin cuba babak aksi

Mira perlu memilih tawaran watak mengikut kesesuaian imejnya.

PELAKON Mira Filzah memberitahu dia mempunyai keinginan untuk memegang watak yang memerlukannya untuk melakukan babak aksi.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 26, berkata dia bagaimanapun perlu memilih tawaran yang sesuai dengan imej bertudung.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya memang tampar dia betul-betul” - Pelempang Mira Filzah hinggap ke muka Zul Ariffin

"Saya ada juga keinginan untuk memegang watak yang perlu melakukan babak aksi tapi sebab imej saya bertudung bukan semua watak sesuai.

Mira teringin nak bawa watak aksi.

"Contoh kalau pegang watak sebagai fighter wanita, tak sesuai pula sebab saya bertudung. Jadi, saya tetap kena pilih watak mengikut imej.

"Kalau ikutkan hati memang berminat sangat tapi saya terpaksa meletakkan limitation (had) dari segi pemilihan watak," kata Mira kepada mStar.

Mira buat pertama kali membintangi filem aksi berjudul Sangkar yang akan mula ditayangkan seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura pada 29 Ogos ini.

Selain Mira, filem yang menampikan Mixed Martial Arts (MMA) ini turut menggandingkan dua hero utama iaitu Zul Ariffin dan Remy Ishak.

Mira pernah cuba membawa watak jahat dan psiko.

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Pujaan Hati Kanda ini mengakui dia kerap menerima tawaran karakter wanita baik disebabkan sudah menjadi sinonim dengannya.

"Sebenarnya sebelum ini saya pernah juga cuba membawa watak jahat dan seorang yang psiko tapi mungkin orang hanya nampak saya bawa watak yang sama saja.

"Sebab tu mungkin saya kerap terima tawaran yang sama. Tapi saya boleh saja nak keluar dari zone itu, bergantung pada filem aksi itu macam mana," ujarnya.

Mira Filzah , Zul Ariffin , Remy Ishak

Artikel Lain