Dayang Nurfaizah diam, tak bercakap sebelum naik pentas untuk 'pukau' penonton di Istana Budaya - Hiburan | mStar

Dayang Nurfaizah diam, tak bercakap sebelum naik pentas untuk 'pukau' penonton di Istana Budaya

Dayang ambil masa untuk bertenang sebelum membuat persembahan. Foto: Echolalia Pictures.

DUA dekad berada dalam industri seni suara, nama Dayang Nurfaizah masih kekal relevan dan mampu meletakkan dirinya pada satu tahap selesa.

Dayang yang meraikan ulang tahun ke-20 perjalanan kerjayanya menerusi sebuah konsert istimewa Dayang Dua Dekad di Panggung Sari, Istana Budaya pada malam Ahad telah memberi kenangan manis buat peminat-peminatnya.

Pemilik nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 38, turut meluahkan rasa terharu dan bersyukur dirinya masih diterima biarpun dalam era kemunculan ramai penyanyi baharu.

"Alhamdulillah 20 tahun masih relevan. Saya bangga masih mampu menghiburkan peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya dari awal sehingga sekarang.

Dayang selesa berada di pentas disebabkan aura positif daripada penonton.

"Saya bersyukur sangat walaupun tak sangka sudah sampai 20 tahun dalam industri seni. Terima kasih kepada peminat, rakan-rakan media dan semua yang membantu saya selama ini," katanya.

Konsert berdurasi dua jam itu digambarkan cukup sempurna dengan kehebatan vokal dan persembahan bertenaga anak kelahiran Sarawak ini.

Selain memberikan persembahan yang terbaik menerusi 19 buah lagu, Dayang juga sangat santai berinteraksi di hadapan lebih 1,000 penonton.

Konsert tersebut turut dihadiri beberapa selebriti terkenal seperti Datuk Syafinaz, Neelofa, Ziana Zain, Misha Omar, Fauziah Latiff dan Indah Ruhaila.

Dayang menggayakan busana rekaan Rizalman.

Dalam pada itu, Dayang mengakui agak gementar namun cuba menghilangkan perasaan itu demi memberikan persembahan terbaik buat peminat.

"Sebenarnya saya gementar tapi cuba selesakan diri sebab nak bagi yang terbaik untuk peminat yang pertama kali atau yang dah biasa tonton persembahan saya.

"Selalunya kalau saya nak hilangkan perasaan itu, saya akan berdiam diri, tak akan bercakap dengan sesiapa dan perlu bertenang sebelum naik ke atas pentas," ujarnya.

Penyanyi lagu Lelaki Teragung ini juga anggun menggayakan empat busana rekaan pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman.

Hael sebagai penyanyi jemputan.

Antara lagu popular yang dinyanyikan ialah Tak Pernah Menyerah, Seandainya Masih Ada Cinta, Mana Mungkin, Erti Hidup dan Separuh Mati Ku Bercinta.

Pada segmen seterusnya, kemunculan penyanyi Hael Husaini yang berduet menerusi lagu yang menjuarai Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) iaitu Haram mendapat tepukan gemuruh penonton yang pastinya tertunggu-tunggu gandingan mereka.

Lebih menarik pada malam itu, Dayang menyanyikan empat buah lagu kegemarannya iaitu Sejak Ku Bertemu Pada Mu (nyanyian asal Sanisah Huri), Jangan Tenung-Tenung (Nona Asiah dan Zaleha Hamid), Mari Jalan Bersama (Saloma) dan Bunga Anggerik (Latifah Omar).

Dayang mengakhiri konsertnya dengan menyampaikan lagu Layarlah Kembali, Di Pintu Syurga, Lelaki Teragung dan Dayang Sayang Kamu yang sememangnya menjadi lagu 'berhantu' buat peminat-peminatnya.

Dayang Nurfaizah , Dayang Dua Dekad

Artikel Lain