“Tunggu 48 jam untuk tahu kaki mampu diselamatkan atau tidak” - Haziq cedera parah kemalangan

Kecederaan pada kaki Haziq berisiko dan berbahaya.

BEKAS vokalis kumpulan Putera Band, Haziq menjalani pembedahan pada kaki kanan selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya pada Jumaat.

Ibunya yang juga penyanyi kumpulan Eva iaitu Linda, 42, memberitahu Haziq mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki sehingga terpaksa menjalani pembedahan sebanyak dua kali.

"Alhamdulillah setakat ini perkembangan Haziq okay selepas pembedahan kaki kali kedua. Kaki kanan cedera parah kerana otot terkoyak dan urat putus.

"Sekarang ini kita kena tunggu keadaan selepas 48 jam pembedahan... doktor ada beritahu kakinya berisiko untuk tidak dapat diselamatkan lagi. Sekarang ini kami hanya mampu berdoa dan berharap supaya urat pada kakinya itu kembali berfungsi.

ARTIKEL BERKAITAN: Haziq (Putera Band) Patah Tulang Rusuk, Kemalangan Dengan Lori

"Saya letakkan sepenuh kepercayaan kepada pakar untuk membantu Haziq. Dia masih muda, tak sanggup nak tengok Haziq tanpa kaki. Minta semua doakan ya!," katanya kepada mStar.

Pada Jumaat, penyanyi berusia 19 tahun ini membonceng motosikal bersama rakannya dalam perjalanan ke Bukit Jalil terbabit kemalangan di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur pada pukul 1 pagi.

Linda memohon orang ramai mendoakan kesihatan anaknya itu.

Sebuah kereta yang dipandu laju melanggar motosikal mereka dari arah belakang sehingga membuatkan Haziq melambung dan terjatuh di jalan raya.

Kemalangan itu telah menyebabkan Haziq mengalami kecederaan kaki kanan serta kehilangan lebih dua liter darah dan dikejarkan ke hospital.

Sementara itu, Linda memberitahu individu yang melanggar Haziq itu telah tampil memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden yang berlaku.

"Lelaki yang langgar itu mengakui kesilapan dan mahu bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

"Dia juga berjanji untuk melawat Haziq dalam masa terdekat dan ada hubungi saya beberapa kali bertanyakan perkembangan kesihatan Haziq," ujarnya.

Haziq memuat naik status di Insta Story selepas kemalangan tersebut.

Dalam pada itu, Linda atau nama sebenar Norhaslinda Ishak berkata dia reda dengan apa yang berlaku dan memohon orang ramai mendoakan kesihatan Haziq.

"Sebagai ibu pastinya saya hanya mengharapkan Haziq cepat sembuh dan kaki dia berfungsi seperti biasa.

"Apa pun yang berlaku selepas ini saya reda dan anggap ia sebagai takdir dan ujian daripada Allah SWT. Setiap apa yang berlaku ada hikmah dan itulah yang selalu saya cakapkan kepada Haziq ketika dia bersedih di hospital," katanya.

Pada Februari 2018, Haziq pernah terbabit dalam kemalangan apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori diparkir di bahu jalan.

Akibat daripada kemalangan itu, Haziq mengalami kecederaan di paru-paru, retak tulang tengkuk dan patah tulang rusuk.

Haziq, Linda Eva, Putera Band

Artikel Berkaitan

Artikel Lain