suria

“Ni dah kenapa?” - Didi Astillah naik meluat diganggu mesej lucah di Instagram

Didi enggan melayan mesej-mesej melampau yang diterima di laman sosialnya.

PELAKON dan penyanyi Didi Astillah berkata dia sering menerima mesej berbaur lucah daripada netizen yang menggunakan akaun palsu di laman Instagram.

Bagaimanapun Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 23, berkata dia tidak mengambil serius perkara itu dan hanya akan menyekat akaun tersebut.

"Ada la beberapa kali terima mesej berbaur lucah di Instagram. Tapi selalunya saya memang malas nak layan pun mesej-mesej tu.

"Sebab kebanyakan yang menghantar mesej seperti itu menggunakan akaun palsu. Saya cuma ambil langkah menyekat sahaja akaun tersebut.

Didi berkongsi salah satu DM berbaur lucah.

"Tak tahu nak rasa marah atau lebih kepada kelakar, saya pun tak pasti motif sebenarnya mereka hantar mesej macam tu," kata Didi kepada mStar.

Adik kepada pelakon dan penyanyi Bella Astillah itu diminta mengulas mengenai paparan skrin mesej lucah daripada akaun palsu yang dimuat naik di Instastory miliknya pada Selasa.

Penyanyi lagu Bersama Di Hari Raya ini turut menegaskan dia akan menyekat atau memadam komen-komen yang melampau di laman sosialnya.

"Selama ini pun, saya tak akan balas tapi padam atau sekat sahaja akaun yang menghantar komen melampau," ujarnya.

Peminat suka melihat Didi dan Bella menari.

Dalam pada itu, bertanya mengenai video klip tarian lagu Boys With Love bersama Bella, Didi memberitahu ia dilakukan secara suka-suka sahaja.

"Sebenarnya saya dan Bella saja suka-suka nak menari dan merakam video tersebut. Bella pun memang suka menari, jadi kami saja rakam video tersebut.

"Buat masa sekarang, saya dan Bella tiada lagi perancangan untuk buat projek khas seperti video tersebut," katanya.

Video yang memperlihatkan Bella, Didi dan beberapa orang rakannya mempersembahkan tarian lagu Boys With Love nyanyian asal kumpulan K-Pop terkenal dunia BTS mendapat perhatian netizen.

Rata-rata memuji Bella yang lengkap memakai suit kelihatan begitu cantik ketika mempersembahkan lagu tersebut.

Didi Astillah, Bella Astillah

Artikel Lain