Kisah genius muzikal berselindung disebalik topeng dalam 'The Phantom of the Opera' tidak pernah mengecewakan! - Hiburan | mStar

Kisah genius muzikal berselindung disebalik topeng dalam 'The Phantom of the Opera' tidak pernah mengecewakan!

Teater muzikal The Phantom of the Opera telah berlangsung pada 15 Jun sehingga 7 Julai ini.

TEATER muzikal popular The Phantom Of The Opera jarang sekali mengecewakan penonton di setiap persembahannya bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Teater yang diadaptasi daripada novel klasik Le Fantome de L'Opera membawa suasana luar biasa kepada penonton dengan iringan muzik orkestra sebaik sahaja melangkah ke dalam ruangan panggung Istana Budaya.

The Phantom of the Opera menampilkan 118 pekerja terdiri daripada pelakon, kru dan anggota orkestra yang dibawakan oleh World Culture Promotion Association Of Huangdi Neijing (WCPAHN) dan Base Entertainment.

Cerita mengisahkan seorang lelaki misteri yang juga genius muzikal, Phantom berselindung di sebalik topeng dan menghuni Paris Opera House cuba berusaha memenangi hati penyanyi soprano muda bernama Christine Daae, tanpa menyedari cinta wanita itu sudah mempunyai kekasih.

Gandingan mantap Christine Daae dan Raoul dalam The Phantom of the Opera.

Babak penceritaan yang menarik dan tidak membosankan

Pementasan teater bertaraf antarabangsa di bawah karya Andrew Lloyd Webber itu diselang-seli dengan babak penceritaan diiringi dengan nyanyian dan dialog jenaka yang berjaya membuat penonton tertawa.

Salah satu babak menarik perhatian penonton menunjukkan Phantom menyelubungi dirinya dengan kain hitam dan hilang sekelip mata. Ia betul-betul mengejutkan!

Selain itu, laungan 'Masquerade' juga menggamit suasana istana budaya dengan iringan lagu orkestra seperti The Phantom of the Opera, Think Me dan Music of the Night.

Persembahan nyanyian 'Masquerade' menggamit suasana Istana Budaya.

Menampilkan pelakon berbakat dan berpengalaman

Pelakon-pelakon bagi watak utama Christine Daae, Phantom dan Raoul antara yang berpengalaman dalam bidang teater dan lakonan.

Teater muzikal yang telah dipersembahkan hampir 140 juta penonton di 44 buah negara sudah tentu berjaya menghasilkan pelakon-pelakon yang mahir dan berbakat dalam membawakan watak masing-masing.

Gandingan watak utama Christine Daae dan Phantom yang dimainkan oleh Meghan Picerno bersama Jonathan Roxmouth kelihatan sungguh serasi dan menjiwai watak yang diberikan.

Selain itu, pelakon-pelakon juga menghasilkan watak dengan penuh yakin dan tidak kekok malah setiap dialog yang diucapkan mudah difahami.

Teknikal dan prop melengkapi persembahan

Prop antara salah satu perkara penting dalam menjayakan persembahan teater. Tanpa prop, tidak lengkaplah sesuatu persembahan itu.

Proses keluar masuk props dalam persembahan lancar dan tiada sebarang masalah sepanjang persembahan berlangsung.

Prop juga kelihatan lengkap mengikut setiap babak.

Replika lampu candelier rumah opera Paris dengan panjangnya tiga meter itu menjadi simbol bagi kisah cinta yang penuh dramatik ini.

Dalam pada itu, Teater muzikal ini dipentaskan pada 15 Jun sehingga 7 Julai di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 8.30 malam.

Tiket bermula RM200 boleh didapati di laman web ticketcharge.com.my.

Artikel Lain