‘Lupa diri’ sedang hamil, Kaka Azraf dipantau doktor bimbang diabetes - Hiburan | mStar

‘Lupa diri’ sedang hamil, Kaka Azraf dipantau doktor bimbang diabetes

Kaka mengakui dia kini dalam fasa bahagia tapi dalam masa yang sama ada perasaan gementar.

PENYANYI Kaka Azraff memberitahu dia kini dalam pemantauan doktor kerana disyaki menghidap kencing manis.

Menurut Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 30, keinginannya mengambil makanan manis di awal kehamilannya menyebabkan paras gula dalam darahnya tinggi.

"Alhamdulillah alahan (morning sickness) saya dah tak teruk macam awal-awal kehamilan. Tapi kadar gula saya pula yang tinggi sekarang ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kaka Azraff tak sabar nak mengandung, idam anak perempuan


Kaka dan suami teruja nak timang cahaya mata pertama.

"Masa saya ada alahan yang teruk, saya banyak sangat makan makanan manis sebab tekak rasa tak sedap dan sekarang kadar gula saya pula tinggi.

"Jadi buat masa sekarang ini saya dalam pemantauan doktor. Doktor juga menasihatkan saya supaya menjaga pemakanan," katanya kepada mStar.

Sebelum ini, penyanyi lagu Sibuk itu mengumumkan dia kini sedang hamil anak pertama dan kandungannya kini sudah memasuki empat bulan.

Dalam pada itu, Kaka meluahkan rasa gembira dan mengakui dirinya kini dalam fasa bahagia namun dalam pada masa yang sama ada perasaan gementar.

Kehidupan Kaka berubah semenjak ada suami, keluarga baru dan bayi yang bakal lahir tidak lama lagi.

Menurut Kaka, dia menyedari kehidupannya sudah berubah dengan kehadiran suami, keluarga baharu dan bayi yang dijangka bakal lahir pada awal Oktober depan.

"Sejujurnya saya dalam fasa bahagia dan sangat gembira, tapi dalam masa sama saya rasa sedikit gementar.

"Boleh kata kehidupan saya berubah 360 darjah. Kalau tahun lalu, saya bujang tapi tahun ini saya ada suami, keluarga baharu dan anak yang bakal lahir tidak lama lagi.

"Tapi InsyaAllah saya akan lakukan yang terbaik untuk keluarga dan harap semua peminat mendoakan yang baik-baik," ujarnya.

Kaka dan suaminya, Adam Azriff mendirikan rumah tangga pada 14 Disember tahun lalu selepas dirisik keluarga pemuda itu sebulan sebelum itu.

Kaka Azraff

Artikel Lain