suria

Selepas dikecam kerana nyanyian, Neera Azizi tukar kerjaya jadi pramugari

Meskipun sibuk dengan kerjaya baharu, Neera masih meneruskan bidang lakonan. Foto Instagram @neeraazizi

PELAKON Neera Azizi memberitahu dia kini sudah menukar kerjaya kepada seorang pramugari di sebuah syarikat penerbangan.

Meskipun sibuk dengan kerjaya baharu itu, Neera berkata dia tidak akan meninggalkan dunia seni dan masih menerima tawaran lakonan.

"Insya-Allah awal bulan Mei ini saya akan memulakan kerjaya sebagai pramugari di Malindo, sekarang ini masih mengikuti kelas dan kursus cabin crew.

ARTIKEL BERKAITAN: Neera Azizi Sedia Dikecam Ceburi Bidang Nyanyian

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

"Saya anggap ini sebagai rezeki dan sumber pendapatan tetap. Sejujurnya, saya memang sukakan kerjaya baharu ini.

"Tapi jangan risau, saya masih ada dalam bidang lakonan dan tak akan tinggalkan karier seni ini," katanya kepada mStar.

Sementara itu, pelakon drama Miss Kapten Cikgu Waiz ini berkata tiada masalah untuk dia meneruskan bidang lakonan kerana telah mendapat persetujuan daripada syarikat penerbangan berkenaan.

Malah, pihak pengurusan turut memberikan ruang kepadanya dan membantu menguruskan jadual kerja.

"Alhamdulillah, pihak syarikat memberi kebebasan kepada saya untuk terus jadi pelakon. Maksudnya kalau ada penggambaran, mereka akan bagi pelepasan kerja.

"Buat masa ini saya tak nampak apa-apa masalah kerana shooting pun kebiasaannya hujung minggu. Semasa usia muda inilah kena cari duit lebih dan kerja keras," ujarnya.

Sebelum ini, nama Neera Azizi menjadi perbualan hangat netizen apabila tular video nyanyiannya yang dikatakan sumbang ketika sedang bersiaran langsung di satu program televisyen swasta.

Neera Azizi

Artikel Lain