suria

Muzikal tari ‘Riuh Bertandak Lama Tak Kelih’ bakal gamatkan Istana Budaya

Sarah Fazny akan terlibat dalam jualan bazar sempena muzikal tari terbitan PakNgah Production Sdn Bhd.

WARISAN seni budaya Malaysia perlu dihargai dan diingati sepanjang zaman bagi memastikan kesenian budaya Melayu tidak lenyap dalam arus kemodenan ketika ini.

Justeru, buat julung kalinya setelah 24 tahun berkecimpung dalam industri warisan seni budaya, hiburan dan pengurus acara, PakNgah Production Sdn Bhd mengorak langkah menerusi sebuah terbitan muzikal tari Riuh Bertandak Lama Tak Kelih.

Muzikal itu bakal dipersembahkan di Lambang Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur pada 26 sehingga 28 April ini.

Riuh Bertandak arahan Mohd Zulfarqar Awaluddin ini bakal menggabungkan empat elemen utama iaitu muzik, lakonan, nyanyi dan tari dan akan memaparkan proses evolusasi bermula dari era kegemilangan empayar Melayu.

Ia turut menampilkan beberapa artis seperti Dr Norzizi Zulkifli, Zizi Kirana, Azizul Hakim, Fitri Hiswady dan Sabihah Wahid.

Pementasan ini juga mendapat sokongan daripada Istana Budaya serta kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Ghazal Johor Malaysia.

Zizi Kirana

Pementasan berdurasi hampir 90 minit ini bertujuan untuk memastikan seni tari dan muzik Melayu terus dihargai dan sentiasa diingati oleh masyarakat Melayu walaupun industri muzik di Malaysia bersaing ketika ini.

Selain itu, PakNgah Production juga akan mengadakan Bazaar Riuh Santai pada tarikh berkenaan dengan pelbagai aneka jualan makanan, minuman, barangan dan food truck.

Beberapa artis termasuk Zizi Kirana, Datuk Nash, Taiyuddin Bakar (Apa Celop Toq), Sarah Fazny (Mentor), Najua P Ramlee, Chemat Raja Lawak dan Nasz Sally (Ola Bola The Musical) turut menyertai jualan di bazar berkenaan.

Bazar yang bakal berlangsung di Laman Beringin, Istana Budaya itu akan dibuka dari pukul 3 petang sehingga 11 malam manakala 27 dan 28 April seawal 11 pagi.

Tiket untuk menyaksikan pementasan ini dijual pada harga RM30 sehingga RM100.

Muzikal tari, istana budaya

Artikel Lain