“Kalau macam ni memang tak boleh nak fokus, merdu sangat!” - Impian Misha Omar jadi pembaca berita tercapai - Hiburan | mStar

“Kalau macam ni memang tak boleh nak fokus, merdu sangat!” - Impian Misha Omar jadi pembaca berita tercapai

Misha Omar jadi penyampai Komuniti Awani pada malam Ahad.

IMPIAN zaman kanak-kanak penyanyi Misha Omar untuk membaca berita akhirnya tercapai apabila diberi peluang untuk menyampaikan segmen Komuniti Awani di saluran berita Astro Awani pada malam Ahad.

Misha, 37, berkata, dia selalu berangan -angan ketika diminta oleh cikgu untuk membaca teks di dalam kelas.

"Dulu Masa kecik-kecik pernah juga berangan nak jadi pembaca berita. Kalau cikgu suruh baca teks berbentuk berita, apa lagi kau berangan la jadi Christine Ling dalam kelas.

"Terima kasih @501awani di atas undangan ini. Sesungguhnya kak Mitch sangat berbesar hati. Keseluruhan team produksi buat kak Mitch rasa tak kekok. Rasa mcm nak hantar resume je mintak keje kat situ," ujarnya di Instagram.

Misha menyampaikan berita Komuniti Awani.

Menerusi video berdurasi 13 minit yang dimuat naik, Misha membaca berita tentang berita komuniti mengenai pulihara tanah bencah, kelas istimewa ProKhas dan survival wayang kulit.

Sementara itu, rata-rata netizen memuji penyampaian Misha yang jelas dan sedap didengar.

"Kalau suara macam ni memang tak fokus dah berita tu kak Mitch.

"Kak Mitch baca berita pun suara sedap. Boleh tiap-tiap hari tengok berita kalau kak Mitch yang baca," ujar netizen.

Dalam pada itu, Misha yang membalas komen-komen netizen turut mengakui kerjaya sebagai penyampai berita bukan sesuatu yang mudah.

Katanya, dia sendiri berasa gementar untuk menyampaikan berita tersebut.

"Tak senang okey, baru tahu seksa dia macam mana. Sangat mencabar okey!" ujarnya.

Segmen Komuniti Awani yang menghebahkan kisah kemanusiaan itu turut menampilkan beberapa selebriti tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Alif Satar, Nora Danish dan Adibah Noor.

Misha Omar , Komuniti Awani

Artikel Lain