“Orang tahu lagu Derita tapi tak kenal suara siapa” - Isma Sane tak rancang jadi penyanyi - Hiburan | mStar

“Orang tahu lagu Derita tapi tak kenal suara siapa” - Isma Sane tak rancang jadi penyanyi

Isma pada awalnya tidak merancang untuk menjadi penyanyi. Foto Instagram: @ismasane.

PENYANYI baharu Isma Sane mengakui dia pada awalnya tidak pernah merancang untuk menceburi dalam bidang muzik.

Menurut, Isma, 21, dia mengubah fikirannya selepas menerima banyak mesej di laman sosial daripada pengikut yang meminta untuk menjadikan lagu ciptaannya, Derita secara komersial.

"Saya memang minat menyanyi dan tulis lirik. Tapi tiada perancangan pun untuk jadi penyanyi. Saya tak nak jadi artis sebab keluarga pun suruh fokus belajar.

"Lagu Derita itu saya cipta dah lama dan rakam dengan menggunakan aplikasi Garage, selepas itu saya muat naik dalam Youtube dan tak sangka jadi viral.

Isma tak sangka lagu Derita boleh menjadi tular.

"Sejak itu, ramai pengikut mesej di laman Instagram suruh jadikan lagu itu komersial dan kebetulan waktu itu juga saya dilamar syarikat rakaman," katanya kepada mStar.

Lagu Derita yang dimuat naik di Youtube pada September lalu kini sudah mencecah lebih 15 juta tontonan.

Dalam pada itu, Isma memberitahu dia terkejut apabila lagu pertamanya itu boleh menjadi tular dalam masa yang singkat.

Isma akui namanya belum dikenali.

Bagaimanapun, Isma turut menyedari pendengar tidak mengetahui siapa penyanyi disebalik lagu tersebut.

"Memang agak terkejut juga bila lagu itu boleh menjadi tular dalam masa yang singkat dan sampai sekarang orang masih mendengar.

"Tapi saya sedar, lagu itu sahaja dikenali dan orang masih tak tahu siapa penyanyi, namun saya tak kisah.

"Sebab saya pun masih lagi baru dalam industri dan memang akan mengambil masa sedikit untuk dikenali," ujarnya.

Isma Sane

Artikel Lain