suria

Hael Husaini berehat buat lagu nakal, mahu serlahkan sisi romantik pula

Hael Husaini mahu serla sisi romantik.

PENYANYI Hael Husaini menjelaskan dia sudah bersedia jika single terbaharunya berjudul Hari Ini gagal menepati citarasa para peminatnya.

Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 32, berkata demikian selepas wujud persepsi bahawa dia hanya sesuai menyanyikan lagu berentak rancak dan lirik nakal seperti lagu-lagu sebelum ini.

"Peminat sudah biasa dengan sisi ‘nakal’ dan catchy dalam lagu nyanyian saya sebelum ini, jadi tidak salah rasanya untuk saya jamukan pula sisi romantik yang ada pada seorang individu bernama Hael Husaini.

"Dan ingin saya dedahkan di sini, akan ada tempoh dimana saya akan berehat sebentar daripada menghasilkan lagu sepert Hajat kerana ingin membuktikan mampu membawakan muzik yang berbeza seperti single terbaharu saya yang berjudul Hari Ini.

Barisan artis yang terlibat dengan program Lagu Cinta Kita.

Penyanyi yang dikenali menerusi lagu Jampi ini ditemui pada majlis sidang media program Lagu Cinta Kita terbitan TV3 yang bakal menemui penonton bermula 19 April ini.

Dalam pada itu, pemenang Anugerah Juara Lagu edisi 32 dan 33 ini menjelaskan tidak wujud sebarang tekanan tentang pemilihan genre lagu daripada mana-mana pihak tambahan dia dengan ikhlas menghadiahkan lagu-lagu nyanyiannya buat peminat yang sentiasa menyokong karier seninya.

"Tiada desakan daripada peminat, jika kita lihat setiap karya yang saya hasilkan pasti ada ada perbezaan yang ketara.

"Langsung tiada tekanan jika Hari Ini gagal mencuri tempat dihati peminat seperti single Hajat dan Haram sebelum ini. Sentiasa ada peluang untuk saya hasilkan karya yang lebih baik, saya sudah terbiasa duduk di bawah selama 12 tahun sebelum nama Hael Husaini betul-betul dikenali peminat seperti sekarang,” tambah Hael.

Single Hari Ini dilancarkan minggu lalu dan berjaya mendapat lebih 600 ribu kali tontonan dan menjadi trending di Youtube.

Sementara itu, Hael bersama pelakon Scha Al-Yahya diumum sebagai juri tetap program Lagu Cinta Kita.

Seramai 16 peserta yang terpilih daripada uji bakat yang digabungkan menjadi lapan pasangan duet.

Program ini diadaptasi daripada program popular Vietnam iaitu Love At The First Song bakal bersiaran selama dua jam setiap minggu bermula pada 21 April, pukul 3 petang.

Hael Husaini, Hari Ini

Artikel Lain