suria

‘One Two Jaga’ bolot 6 anugerah termasuk Filem Terbaik FFM30

Filem 'One Two Jaga' diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia 30 (FFM30) yang berlangsung pada Sabtu. Kelihatan Bront Palarea (kiri) dan Namron bersama trofi kemenangan. Foto: SHAARI CHEMAT.

FILEM arahan Namron iaitu One Two Jaga diangkat sebagai filem terbaik, Anugerah Festival Filem Malaysia ‪ke 30‬ (FFM30) yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ‪pada malam, Sabtu‬.

Filem tersebut turut meraih trofi lima anugerah lain iaitu Pengarah Terbaik (Namron), Pelakon Lelaki Terbaik (Rosdeen Suboh), Lakon Layar Terbaik (Amri Rohaiyat, Fared Ayam dan Namron), Cerita Asal Terbaik (Pitt Haniff, Muhammad Syafiq dan Namron) dan Poster Terbaik (Jazzy Pictures).

Hadiah disampaikan oleh Menteri Komunikasi & Multimedia, Gobind Singh Deo.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘One Two Jaga’ sebuah karya mahal Nam Ron dan rakan-rakan

Dalam pada itu, pelakon Datin Seri Umie Aida pula merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Dukun manakala Pelakon Wanita Harapan dimenangi oleh Jaya Ganason (The Farm: En Veettu Thottathil), Pengarah Harapan (Quek Shio Chuan) dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Eng Wei Jie).

Nam Ron merangkul anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem One Two Jaga.

Para pemenang menerima trofi bersalut emas sumbangan penganjur iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas).

Sebanyak 27 anugerah disampaikan pada malam kemuncak FFM29 ini termasuk tiga Anugerah Khas Juri.

Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman pula diberi kepada AR Badul.

FFM29 dihoskan oleh Adibah Noor dan Nabil Ahmad dan ia disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.

Lakonan hebat Umie Aida dalam 'Dukun' membolehkan dia memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik, FFM30.

Selain Gobin, hadir sama menonton acara berkenaan ialah Timbalan Menteri Komunikasi & Multimedia, Erin Syazlee Shith, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi & Multimedia, Shalin Ahmad Shakir, Pengerusi Finas, Datuk Samsuni Mohd Nor dan Ketua Pengawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

FFM30 turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datin Alyah, Jaclyn Victor, Ning Baizura, Hafiz Suip, Syamel dan Ernie Zakri.

Berikut ini senarai 27 penerima anugerah dalam FFM30.

1. Filem Terbaik: Pixel Play Entertainment - One Two Jaga

2. Pengarah Terbaik: Namron - One Two Jaga

3. Pelakon Lelaki Terbaik: Rosdeen Suboh - One Two Jaga

4. Pelakon Wanita Terbaik: Datin Seri Umie Aida - Dukun

5. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Hasnul Rahmat - Polis Evo 2

6. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Nabila Huda - Makrifat Cinta

7.  Pelakon Lelaki Harapan: Kyo Chen - Guang

8. Pelakon Wanita Harapan: Jaya Ganason - The Farm: En Veettu Thottathil

9. Pengarah Harapan: Quek Shio Chuan - Guang

10. Lakon Layar Terbaik: Amri Rohaiyat, Fared Ayam & Namron - One Two Jaga

11. Cerita Asal Terbaik:  Aliff Haniff, Muhammad Syafiq & Namron - One Two Jaga

12. Pelakon Kanak Kanak Terbaik: Eng Wei Jie - Rise Of The Legend : Lee Chong Wei

13. Sinematografi Terbaik: Yeong Tuck Wei - Guang

14. Penyunting Terbaik: Raja Affandi Raja Jamaludin - Dukun

15. Filem Box Office: Munafik 2

16. Karyawan Sepanjang Zaman: AR Badul

17. Anugerah Khas Juri 1 : Asia Tropical Sdn Bhd - Paskal

18. Anugerah Khas Juri 2 : Veedu Production - Vedigundu Passangge

19. Anugerah Khas Juri 3 : Astro Shaw - Busker

20. Penggiat Belakang Tabir : Habsah Hassan

21. Penataan Bunyi Terbaik : Imaginex Studio Sdn Bhd - Pulang

22. Penataan Seni terbaik : Chan Hsien Yu - Guang

23. Rekaan Kostum Terbaik : Andy Sulaiman -Dukun

24. Skor Muzik Terbaik : Nick Davis - Two Sisters

25. Kesan Khas Terbaik : Pixelpost - Dukun

26. Poster Terbaik : Jazz Pictures - One Two Jaga

27. Lagu Tema Terbaik : Monoloque - Atma Jiwa - Busker

Artikel Lain