Tak ‘sailang’ sesiapa… “Saya percaya Allah tak tidur” - Ifa Raziah - Hiburan | mStar

Tak ‘sailang’ sesiapa… “Saya percaya Allah tak tidur” - Ifa Raziah

Ifa percaya rezekinya semakin bertambah setiap kali ada pihak cuba menjatuhkannya. Foto Instagram: @ifaraziah.

PENYANYI Ifa Raziah menganggap rezeki dia sentiasa akan bertambah setiap kali ada mana-mana pihak yang mencuba menjatuhkannya.

Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 44, berkata dia percaya Allah akan sentiasa membantu hambaNya tidak kira dalam situasi yang macam mana pun.

"Macam-macam sudah saya lalui dalam hidup industri seni ini. Alhamdulillah saya masih di sini dan terus mewarnai industri.

"Saya percaya Allah tak tidur dan akan sentiasa bantu walau dalam apa keadaan sekalipun. Selagi ada pihak cuba nak menjatuhkan saya, semakin itu rezeki saya bertambah.

Ifa percaya Allah akan sentiasa membantu.

"Jika kita ikhlas melakuKan sesuatu perkara, percayalah semuanya pasti akan dipermudahkan," kata Ifa kepada mStar Online.

Tambah selebriti versatil ini, dia menyedari sudah menjadi lumrah dalam kehidupan apabila ada pihak yang dengki dengan kejayaan dan kesenangan orang lain.

Bagaimanapun, Ifa hanya mampu berdoa dan berharap mereka yang mempunyai perasaan hasad dengki itu diberikan petunjuk.

"Dalam dunia ini, sudah jadi adat ada yang dengki dengan kejayaan dan kesenangan yang kita miliki. Saya hanya mampu berdoa dan berharap mereka diberikan petunjuk.

Percayalah ‘maaf’ itu adalah resepi terbaik untuk kekal positif dalam hidup.

IFA RAZIAH

SELEBRITI

"Tidak perlu saya melenting atau maki. Masing-masing sudah matang dan bergaduh bukan lagi jalan penyelesaian. Saya lebih suka senyum dan maafkan netizen ini.

"Saya tidak mahu mereka diseksa di akhirat kelak. Percayalah ‘maaf’ itu adalah resepi terbaik untuk kekal positif dalam hidup.

"Saya harus terus berjalan tanpa mengambil pusing komen-komen negatif ini. Satu hari kebenaran akan terungkap jua. Masa yang akan menentukan," ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Terus Terang ini menafikan dakwaan dia cuba mencaras atau 'sailang' projek penganjuran festival raya seperti yang diperkatakan netizen di laman sosial.

Ifa nafi ingin mencaras projek penganjuran festival raya seperti yang didakwa netizen.

Ifa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Star Vendors menjelaskan penganjuran festival terbabit dibuat mengikut prosedur ditetapkan phak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selaku penyedia lokasi.

"Benar, sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan penganjur festival lain. Cuma pada tahun ini, saya pula bertindak sebagai penganjurnya.

"Tiada isu nak ‘caras’ atau ‘sailang’ seperti yang didakwa netizen di laman sosial. Malah, saya sendiri tiada perselisihan faham dengan penganjur sebelum ini," katanya.

Festival yang bakal berlangsung selama tiga hari di PWTC itu akan bermula 24 Mei depan dan dijangka membabitkan lebih 40 artis tempatan serta luar negara.

Antaranya ialah Fattah Amin, Nur Fazura, Erra Fazira, Randy Pangalila, Datuk Awie, Datuk Aznil Nawawi, Hanis Zalikha, Siti Elizad, Kilafairy dan Hafiz Hamidun.

Ifa Raziah

Artikel Sebelum

Artikel Lain