suria

April semakin hampir... Siti Sarah, Noryn Aziz dan Misha Omar kian berdebar

Tiga penyanyi hebat ini bakal bergabung tenaga menerusi konsert Soul Sisters yang diadakan di Istana Budaya. Foto: GLENN GUAN.

PENYANYI Siti Sarah, Noryn Aziz dan Misha Omar sudah merasai tekanan menjelang konsert Soul Sisters yang bakal dipentaskan di Istana Budaya.

Sarah atau Siti Sarah Raisuddin, 35, berkata biarpun ada tekanan namun dengan pertolongan di antara satu sama lain mereka berharap dapat melakukan yang terbaik.

"Tidak dinafikan tekanan itu sudah sememangnya ada. Tapi kami tahu, kami di tangan orang yang profesional. Jadi, ada rasa lega la juga.

"Tambahan pun konsert Soul Sisters ini gabungan kami bertiga dan masing-masing memberi sepenuhnya serta saling membantu satu sama lain.

"Apabila kerja bawah tekanan ni, kita kena saling membantu dan beri segalanya. Insya-Allah hasilnya akan jadi yang terbaik," kata Sarah kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Noryn, Misha dan Siti Sarah cari peminat hanya dengan ‘hashtag’


Sarah, Misha dan Noryn sudah mula menjalani latihan vokal bersama Syafinaz.

Menurut Misha pula, mereka kini giat menjalani latihan dari segi vokal bersama Datuk Syafinaz Selamat bagi persiapan konsert yang bakal dipentaskan pada 4 dan 5 April depan.

"Saya, Sarah dan Noryn sekarang ini memang akan kerap berjumpa dengan Syafinaz untuk latihan vokal bersama sebab kami akan banyak menyanyi secara bertiga.

"Selain mendapatkan nyanyian berharmoni, latihan itu juga untuk menonjolkan kemampuan vokal masing-masing tanpa perlu membayangi sesiapa," kata Misha.

Dalam pada itu, konsert Soul Sisters yang menggandingkan tiga penyanyi terkenal itu juga bakal menampilkan segmen khas mengenang kembali kumpulan wanita popular, Feminin.

Menurut penganjur Edd Razhe daripada Edd Razhe Entertainment, dia meminta tiga penyanyi itu membuat persembahan 'tribute' untuk kumpulan tersebut sebagai tanda penghargaan.

Edd mahu tiga penyanyi hebat ni membawa tiga buah lagu Feminin.

"Sebagai penganjur, memang saya meminta mereka untuk membuat persembahan ‘tribute’ untuk Feminin sebagai penghargaan kepada kumpulan itu.

"Menerusi segmen terbabit, ketiga-tiganya akan menyampaikan tiga lagu pernah dipopularkan mereka iaitu Untukmu, Rindu dan Kini.

"Insya-Allah, Feminin sendiri akan hadir menyaksikan persembahan pada 5 April depan, untuk sama-sama memeriahkan konsert. Selain itu, ada juga kejutan lain menanti," katanya.

Edd Razhe pernah menguruskan kerjaya seni kumpulan popular terbabit lebih dua dekad lalu.

Sepanjang pembabitan dalam muzik, Feminin yang dianggotai oleh As, Watie, Deq Nor dan Yatie pernah merakamkan tiga album studio iaitu Untukmu (1993), Kini (1994) dan Kembali (1996).

Tiket masih boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com  pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver)

Artikel Lain