suria

Tomok maafkan peminat baling telur, sabotaj persembahan Newboyz 20 tahun lalu

Newboyz bakal membuat kemunculan semula tidak lama lagi.

PENYANYI Tomok berkongsi permohonan maaf peminat bernama Kamarul Ariffin Nor Sadan yang pernah membaling telur kepada kumpulannya Newboys kira-kira 20 tahun lalu.

Menerusi perkongsian di Instagram itu, Kamarul memberitahu ketika itu dia dan rakan-rakannya sengaja ingin mensabotaj persembahan Newboyz di Plaza Kota Tinggi, Johor.

"Sekitar tahun 1999-2000 (tak berapa ingat), Newboyz ada buat persembahan di Plaza Kota Tinggi. Aku dan beberapa rakan telah melakukan onar dengan niat sabotaj.

"Kami baling telur. Sejujurnya aku pun tidak ada penjelasan yang kukuh untuk sabotaj kalian. Ia lebih kepada tindakan mengikut jiwa muda yang gemar memberontak. Mungkin juga kerana dicabar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tomok umum New Boyz bakal kembali


Tomok memuat naik permohonan maaf daripada peminat Newboyz.

"Aku dengan rendah diri dan ikhlas, aku mohon maaf pada kalian. Aku tahu 20 tahun tu lama lebih baik lambat daripada tidak langsung," tulisnya.

Kamarul turut mengakui dia sebenarnya dalam diam meminati Newboyz dan malah menghafal setiap lirik lagu-lagu kumpulan tersebut.

"Malah, senyap-senyap aku layan juga lagu-lagu Newboyz. Ketika Newboyz mula dikenali, Era (Malaysia) pun baru mula. Kalau keluar lagu Newboyz di EraFM, aku nyanyi dalam hati.

"Siap hafal. Masa itu, aku duduk SBP (sekolah berasrama penuh). Selalunya dengar radio transistor masa cuci baju dengan kawan. Jadi tak boleh nyanyi kuat-kuat.

Tomok terima permohanan maaf individu tersebut.

"Kalau nyanyi kuat-kuat nanti kena cop jiwang pula. Entah apa yang malu jika orang tahu kita ni jiwang? Aku pun tak tahu. Buat apa kita nak malu dengan diri sendiri kan?" katanya.

Dalam pada itu, vokalis kumpulan Newboyz itu menerima permohonan maaf tersebut dan menganggap setiap manusia biasa tidak akan lari dari membuat kesilapan.

"Buang yang keruh... Ambil yang jernih... Kita hanya manusia biasa tak lari dari buat kesilapan. Saya maafkan awak bro!" kata Tomok.

Selain Tomok, kumpulan yang terkenal menerusi lagu Sejarah Mungkin Berulang ini dianggotai oleh Zack (pemain bass), Jay (gitar utama) Lan (gitar utama) dan Along (pemain dram).

Tomok, Newboyz

Artikel Lain