suria

Filem tempatan ‘Fly by Night’ terima pengiktirafan antarabangsa

Filem ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 11 April ini.

BUAT julung kalinya, filem Malaysia 'Fly by Night' ditayangkan sempena Pesta Filem Antarabangsa Santa Barbara 2019 di Amerika Syarikat.

Filem ini juga telah dipilih sebagai salah satu daripada enam projek filem cerita yang menerima Dana Pasca Penerbitan daripada Asian Cinema Fund (ACF) semasa Pesta Filem Antarabangsa Busan ke 23.

Penerbit Eksekutif, Perin Petrus menyatakan pengiktirafan yang diterima adalah permulaan baharu bagi mereka untuk menambah baik filem-filem tempatan ke peringkat antarabangsa.

Bront Palarea

"Sebagai pembuat dan penerbit filem tempatan yang bercita-cita besar, kami teruja dengan pengiktirafan yang diterima oleh filem buatan Malaysia ini," ujarnya.

Dalam pada itu, pengarahnya, Zahir Omar berkata filem ini mendapat inspirasi daripada 'Apa yang tersurat belum tentu tersirat.'

"Ia menggambarkan pandangan baharu tentang kemungkinan orang yang sering kita temui mempunyai watak yang lain dalam hidup mereka, terutamanya kepercayaan yang diberi terhadap pemandu teksi untuk membawa kita ke tempat yang ditujui walaupun kita tidak tahu siapa mereka sebenarnya," ujar Zahir.

'Fly by Night' juga menerima pengiktirafan di Macau apabila ia terpilih untuk ditayangkan di International Film Festival & Awards Macao (IFFAM) dan Pesta Filem Asia Jogja-NETPAC.

Filem terbitan Planet Films dibarisi para pelakon hebat iaitu pelakon veteran Sunny Pang, Bront Palarae dan Jack Tan.

Ia bakal ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 11 April ini.

Fly by Night, Bront Palarae

Artikel Lain