Buang sifat buruk sangka, sebab itulah DJ Dave nampak muda pada usia 71 tahun - Hiburan | mStar

Buang sifat buruk sangka, sebab itulah DJ Dave nampak muda pada usia 71 tahun

DJ Dave memotong kek bersempena hari jadinya yang ke-71 tahun bersama anak-anak istimewa.

PENYANYI Datuk DJ Dave memberitahu dia tidak mempunyai sebarang rahsia atau amalan dalam mengekalkan awet muda dan menjaga kesihatannya walaupun usianya sudah mencecah 71 tahun.

Sebaliknya kata pemilik nama sebenar Irwan Shah Abdullah ini, sejak dahulu dia sentiasa berpegang kepada prinsip menjaga ‘jiwanya’ agar sentiasa bersikap positif dan tiada sebarang berprasangka buruk terhadap orang lain.

“Saya tiada rahsia tertentu dalam menjaga kesihatan diri sebaliknya saya sentiasa sematkan dalam diri supaya tiada hasad dengki atau bersangka buruk terhadap orang lain.


DJ Dave bersama tetamu istimewanya. 

“Jangan ada perasaan marah dan sentiasa berbuat baik kepada orang lain,” katanya kepada mStar Online.

DJ Dave ditemui pada sambutan hari jadinya ‘A Gift With Love’ yang diadakan di Putrajaya pada Khamis.

Pada acara itu, DJ Dave turut mengundang 70 kanak-kanak istimewa daripada Ryan Special Need Centre, Kau Yang Teristimewa Care (KYT) dan Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Kajang (PKIK).

Setiap tahun DJ Dave meraikan hari jadinya bersama kanak-kanak istimewa.

Bercakap mengenai sambutan hari jadinya bersama kanak-kanak istimewa, DJ Dave memberitahu sejak 46 tahun lalu dia sentiasa meraikan hari lahirnya bersama mereka sebagai salah satu cara menghargai golongan kurang bernasib baik itu.

“Syukur Alhamdulillah Allah memberikan kesihatan dan kesempatan untuk saya meraikan hari bahagia ini sekali lagi bersama kanak-kanak istimewa ini.

“Golongan ini sentiasa dekat dihati saya malah masa saya mula-mula menyanyi dahulu mereka inilah yang memberi sokongan kepada saya.

DJ Dave menunjukkan kebolehan memasak capati untuk tetamu.

“Alhamdulillah setiap tahun memang saya akan raikan hari jadi saya bersama mereka dan dengan cara inilah saya dapat memberi sesuatu kembali kepada masyarakat,” jelasnya.

Pada majlis itu, pelbagai aktiviti diadakan bersama tetamu termasuk acara Zumba selain DJ Dave mendendangkan beberapa buah lagu popularnya.

Lebih menarik, DJ Dave membuat kejutan dengan memasak sendiri capati secara langsung untuk dihidangkan kepada tetamu.

Setiap tetamu istimewanya mendapat hadiah.

Penyanyi Fredo juga turut tampil menghiburkan hadirin.

Untuk rekod, DJ Dave mula mencipta nama dalam bidang seni pada 1972 menerusi lagu irama Hindustan seperti Maafkanlah, Ku Tak Ingin Menangis Lagi dan Harum Bunga Kembang.

DJ Dave

Artikel Lain

Chelsea sahkan Sarri ke Juventus