suria

Dah 10 tahun tiba masanya untuk ‘move on’ - Akim Ahmad

Akim Ahmad mahu lebih serius sebagai seorang komposer dan penulis lirik. Foto Instagram @akimahmad

KREDIBILITI penyanyi Akim Ahmad sebagai seorang komposer memang tidak perlu dipertikaikan lagi malah lagu ciptaannya berjudul Potret pernah bergelar juara Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30) pada 2016.

Ahad lalu, Akim yang menggunakan nama Hang Nadim bersama Laq dan Kadok mendapat tempat kedua di AJL33 menerusi lagu Bunga nyanyian Ara Johari.

Akim memberitahu sudah tiba masanya dia memandang serius terhadap bidang gubahan lagu dan tidak hanya bergantung kepada nyanyian semata-mata.

"Saya sudah 10 tahun menceburkan diri dalam bidang muzik dan sudah tiba masanya saya kena move on' ke cabang lain dan tidak hanya fokus kepada nyanyian sahaja.

"Pada saya bekerja di belakang tabir sebagai komposer banyak memberi kepuasan kepada saya selain ia juga membolehkan saya belajar lebih banyak tentang industri muzik.

Lagu Bunga nyanyian Ara Johari mendapat tempat kedua di AJL33.

"Menghasilkan sesebuah lagu itu sebenarnya banyak proses lain termasuk berbincang dengan artis, wakil syarikat rakaman kerana mereka ini juga memainkan peranan dalam sesebuah kejayaan lagu itu," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, Akim yang sering bergandingan dengan Zimie dalam gubahan lagu memberitahu setakat ini mereka sudah pun menyiapkan beberapa buah lagu untuk artis lain.

Selain itu, mereka juga baharu sahaja selesai merakamkan album terbaharu Akim & The Majistret yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Akim berkata, dia juga sedang merancang untuk mengadakan konsert jelajah bersempena 10 tahun penglibatannya dalam industri muzik tempatan.

Kata Akim, menerusi konsert itu dia bukan sahaja akan mendendangkan lagu-lagu popularnya termasuk bersama kumpulannya malah karya yang pernah dihasilkan untuk penyanyi lain.

Artikel Lain