suria

Terima kasih kutuk dan gelar saya ‘Chef campak-campak’ - Fazley Yaakob

Fazley Fazley dijemput Badan Pelancongan Macau untuk membuat demonstrasi masakan, koloborasi bersama Chef Ricardo Alves. Foto: Shahrul Izzat Abdullah for SS Creatives.

CHEF selebriti Datuk Fazley Yaakob berterima kasih kepada netizen yang mengutuk konsep masakan yang diperkenalkannya kerana dia dapat melebarkan sayap ke peringkat global.

Menurut Fazley, 40, gelaran 'chef campak-campak' yang dilemparkan kepadanya itu berkemungkinan kerana netizen tidak memahami konsep masakan tersebut.

"Terima kasih kerana kutuk dan viralkan saya. Orang Malaysia apabila dia tak faham, dia akan 'membawang'.

"Walaupun gelaran 'chef campak-campak' tu lekat, ia dah jadi gelaran yang menyeronokkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Akibat tak baca kapsyen, Fazley dituduh aibkan pekerja restorannya


Fazley bersama Chef Ricardo dari Restoran Tapas de Portugal yang berkoloborasi bersamanya.

"Orang kita dia kutuk dulu, puji kemudian. Pada saya itu dah lumrah. Kutukan tu macam satu doa, saya terima dengan hati terbuka," ujar Fazley kepada mStar Online.

Dia ditemui sewaktu persembahan hidangan 'Sweet Table' di Taipa Village, Macau pada Ahad.

Fazley diberi penghargaan oleh Badan Pelancongan Macau untuK membuat demonstrasi masakan, koloborasi bersama Chef Ricardo Alves, dari Restoran Tapas de Portugal.

Sesi persembahan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran 50 penduduk tempatan, media Macau dan wartawan Malaysia.

Mengulas mengenai jemputan itu, Fazley mengakui bersyukur dan menyifatkan ia sebagai satu pencapaian besar dalam kerjayanya.

Orang ramai berebut untuk merasai Sweet Table sejurus ia disediakan oleh Fazley dan Chef Ricardo.

"Ini merupakan penghargaan kepada saya, apabila orang luar pun memandang apa yang saya lakukan.

"Malah, saya juga ada menerima beberapa jemputan untuk berkoloborasi dengan chef dan hotel-hotel luar negara," katanya.

Konsep hidangan sweet Table sebelum ini diperkenalkan oleh Fazley di restoran miliknya, SukaSucre Bistro.

Mengulas mengenai perkembangan seninya, Fazley memberi bayangan untuk menghasilkan single baharu, koloborasi bersama seorang penyanyi tempatan pada tahun ini.

Malah katanya, dia juga akan menjadi pengacara untuk sebuah program baharu tidak lama lagi.

Fazley Yaakob

Artikel Lain