suria

Alami kesakitan kronik akibat kanser, pelakon Wafa di IKN

Wafa kini dirawat di IKN selepas mengadu sakit perut akibat kanser tahap empat. FOTO Ehsan UTUSAN.

PELAKON popular era 1990-an, Wafa Abdul Kadir dimasukkan Institut Kanser Negara (IKN) sejak Selasa lalu bagi mendapatkan rawatan berkaitan kanser ovari dan peritoneal tahap empat.

Suaminya Tajul Faizal Tamimuddin, 53, berkata, Wafa mendapatkan rawatan bagi mengawal kesakitan selepas mengadu sakit perut yang kronik. 

“Apa yang dia alami sekarang terbahagi dua iaitu kanser dan kesakitan.

“Doktor sedang mencari ubat dan kaedah untuk mengawal kesakitan yang dialaminya dahulu. Kemudian baharulah fokus kepada kanser,” ujarnya kepada mStar Online.

Pelakon yang popular dengan filem Azizah The Legend dan drama Gerak Khas menghidap penyakit kanser ovari pada 2014 dan pada April 2015 beliau terpaksa membuang keseluruhan organ wanita iaitu ovari, tiub fallopio, rahim dan ormentum (lapisan yang menutup bahagian perut).

Wafa menjalani pembedahan pada 2015.

Dia kemudian menghidap kanser peritoneal tahap empat susulan daripada diagnosis pertama kanser ovari tersebut.

Pelakon itu sudah menjalani 18 kali rawatan kemoterapi bagi mematikan sel kanser pada tahun 2016.

Dalam pada itu, Tajul berkata, kemoterapi akan dilakukan selepas selesai rawatan mengawal kesakitan itu.

“Proses rawatan kanser seterusnya masih belum dilakukan, buat masa ini doktor beritahu mahu kurangkan rasa sakit yang dia alami.

“Wafa masih belum sedar dan di bawah pengaruh ubat. InsyaAllah, dalam seminggu ini buat rawatan itu dahulu,” ujarnya.

Sementara itu, Tajul menyifatkan isterinya itu seorang wanita yang kuat dan tabah dalam melawan penyakit tersebut.

“Alhamdulillah, dia kuat dan tidak pernah berasa putus asa dengan penyakit ini. Dia sangat tabah,” ujarnya.

Untuk rekod Wafa ialah anak kepada bekas Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Talib.

Wafa Abdul Kadir

Artikel Berikut

Artikel Lain