"Yang penting dia bukan laki orang atau hak orang lain" - Fasha Sandha - Hiburan | mStar

"Yang penting dia bukan laki orang atau hak orang lain" - Fasha Sandha

Fasha memberitahu Aidil tidak pernah mengambil kesempatan terhadapnya. Foto Instagram: @fashasandha.

MASIH ada lagi netizen yang menganggap pelakon Fasha Sandha dan tunangnya, Aidil Aziz tidak sesuai sebagai satu pasangan.

Fasha, 35, berkata dia memilih Aidil kerana pelakon itu seorang yang kaya dengan budi bahasa, rajin dalam setiap kerja dan berasal dari keluarga yang baik.

Malah, Fasha juga memberitahu Aidil tidak pernah mengambil kesempatan terhadapnya dan paling penting lelaki itu masih bujang serta bukan hak orang lain.

"Kenapa kami tak sepadan? Sebab saya selebriti dan sebab dia orang sederhana ke? Untuk pengetahuan, dia kaya dengan budi bahasa, kesungguhan dalam kerja dan dia datang daripada keluarga yang baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Aidil Aziz, Fasha Sandha selamat bertunang dalam satu majlis sederhana


Antara komen negatif netizen.

"Dia tak pernah sekali pun ambil kesempatan ke atas saya. Yang penting dia bukan laki (suami) orang mahupun hak orang lain," katanya.

Fasha menjelaskan perkara tersebut bagi membalas komen salah seorang netizen di laman Instagramnya yang menyatakan mereka tidak sepadan.

Menurut Fasha lagi, tidak perlu mempersoalkan perkara tersebut memandangkan jodoh dan pertemuan ditentukan oleh Allah.

Bagaimanapun, Fasha mengucapkan terima kasih kepada yang memberi kata hinaan kepadanya dan dia akan membuktikan mereka mampu hidup dalam kesederhanaan.

"Jangan persoalkan, kerana ini semua kerja Allah. Apa pun, terima kasih di atas hinaan ini, Insya-Allah, kami buktikan kami boleh hidup dengan cara bersederhana," katanya.

Fasha dan Aidil mengikat tali pertunangan pada tahun lalu.

Dalam pada itu, pelakon drama Teratak Kemboja ini turut menerima kecaman gara-gara memuat naik foto Aidil sedang mengangkatnya.

Namun, Fasha dilihat membalas komen-komen tersebut dengan cara tenang dan tidak melatah dengan menyatakan dia tahu hukum halal dan haram.

"Terima kasih di atas teguran dan doa. Allah lebih mengetahui batasan haram dan halal.

"Haram tetap haram dan halal tetap halal. Saya tahu dan saya belajar hukum. Jadi jangan ajar saya," ujarnya.

Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan dan Aidil bertunang pada 18 November tahun lalu dalam majlis tertutup yang diadakan di kediamannya di Ampang, Selangor.

Fasha Sandha

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

“Cukuplah lima tahun” - Wani Kayrie