Amelina punca AirAsia terbang ke Bandung, Tony Fernandes yakin dia juara GV5 - Hiburan | mStar

Amelina punca AirAsia terbang ke Bandung, Tony Fernandes yakin dia juara GV5

Tony yakin Amelina bakal juara GV5.

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menaruh keyakinan penyanyi Amelina akan menjuarai Gegar Vaganza kelima (GV5) yang akan berlangsung pada Ahad.

Tony dalam satu rakaman video berasa sangat gembira melihat artis itu kembali beraksi dalam dunia hiburan tanah air.

"Hai Amelina, ini bekas bos kamu, Tony. Saya berhutang banyak kepada kamu... termasuk terbang ke Bandung dan saya sangat gembira kamu membuat kemunculan semula seterusnya menjadi finalis dalam pertandingan hebat ini dan saya yakin anda akan menang.

"Anda yang terbaik, saya sayang kamu. Semoga berjaya," katanya menerusi video berdurasi 20 saat.

Selain Amelina artis lain yang akan berentap dalam GV5 ialah Zamani, Maya Ruslee, Noryn Aziz, Dia Fadilla dan duo berkumpulan Billy Zulkarnain.

Amelina pernah bernaung bawah syarikat rakaman Warner Music Malaysia ketika Tony menjadi Pengarah Urusan syarikat itu.

Untuk rekod, Tony dan Amelina pernah bernaung bawah syarikat rakaman yang sama iaitu Warner Music Malaysia dan ketika itu Tony ialah Pengarah Urusan syarikat tersebut.

Lebih menarik Tony telah mencetuskan revolusi lagu dangdut dalam dunia hiburan tanah air pada 1990-an selepas melihat potensi pada Amelina menyanyikan lagu genre berkenaan.

"Ketika itulah beliau kerap pergi ke Bandung, Indonesia untuk mempelajari lebih mendalam irama tersebut dan seterusnya menjadikan Amelina terkenal di negara ini," tambah jurucakap AirAsia.

Katanya disebabkan tiada penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Bandung, perjalanan ke sana mengambil masa yang lama.

Setelah Tony mengambil alih AirAsia, syarikat tersebut memperkenalkan perjalanan terus ke Bandung.

Air Asia

Lebih Artikel