suria

Demi ‘Polis Evo 2’, Raline Shah tolak tawaran lain 2 tahun

Raline akui lepaskan bayak tawaran demi Polis Evo.

PELAKON Indonesia Raline Shah memberitahu dia menolak tawaran lain hampir dua tahun semata-mata ingin memberi fokus terhadap filem Polis Evo 2.

Raline, 33, berkata, tempoh tersebut termasuk persiapan mental dan fizikal sebelum memulakan pengambaran babak aksi kepolisan itu.

"Ya, terpaksa tolak tawaran untuk dua tahun kerana saya perlu buat persiapan latihan-latihan fizikal.

"Ini pula filem aksi pertama saya, jadi perlukan banyak latihan terutama seni mempertahankan diri, cara memegang senjata dan berbagai-bagai lagi," ujarnya.

Shaheizy Sam, Zizan Razak dan Raline Shah teraju utama Polis Evo 2.

Raline yang membawa watak Rian ditemui pada majlis tayangan media filem berkenaan yang diadakan baru-baru ini.

Sementara itu, Raline berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem berkenaan disebabkan kesungguhan pengarah yang mahu dia terlibat dalam karya itu.

"Saya terima kerana pengarahnya benar-benar mahu saya dalam filem itu. Saya rasa sangat istimewa kerana dia yakin saya mampu melakonkan watak itu.

"Saya tidak pernah buat tapi dia tetap mahu beri saya peluang," ujarnya.

Dalam pada itu, Raline mengakui produksi Polis Evo 2 adalah yang terbaik sepanjang dia bergelar pelakon.

Raline gembira dengan hasil Polis Evo 2.

Selain itu juga, dua pelakon utama iaitu Shaheizy Sam dan Zizan juga banyak membantu dan membuatkan dia lebih selesa sepanjang penggambaran berlangsung.

"Mereka berdua macam abang saya dan banyak membantu sepanjang penggambaran.

"Saya rasa sebalik tabir filem ini juga paling istimewa kerana banyak suka duka pahit dan manis yang kami lalui bersama," ujarnya.

Filem terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. dan SCM Tbk bakal ditayangkan pada 22 November ini di seluruh pawagam tanah air.

Ia turut membariskan pelakon lain antaranya Erra Fazira, Raline Shah, Hairul Azreen, Soffi Jikan, dan Syafie Naswip.

Polis Evo 2, Raline Shah

Artikel Lain